Gelaran Datuk, Datuk Seri palsu: Pahang pamer nama 29 individu

Senarai nama yang didedahkan menerusi Notis Awam melalui Facebook rasmi Kerajaan Negeri Pahang.
Senarai nama yang didedahkan menerusi Notis Awam melalui Facebook rasmi Kerajaan Negeri Pahang.
A
A
A

KUANTAN - Nama 29 individu yang tiada dalam senarai penerima Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Pahang Darul Makmur didedahkan kepada umum melalui Notis Awam yang dikeluarkan Kerajaan Pahang.



Nama individu terlibat disenaraikan susulan pemalsuan nama penerima pingat daripada Sultan Pahang berhubung gelaran Datuk dan Datuk Seri, sebelum ini.

Notis terbabit dikeluarkan Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak menerusi di Facebook rasmi Kerajaan Negeri Pahang.

Sinar Harian pada 28 Disember tahun lalu melaporkan dua bekas kakitangan Pejabat SUK Pahang mengaku tidak bersalah atas 29 pertuduhan mengubahsuai kandungan laman sesawang sistem pengurusan darjah kebesaran dan pingat negeri Pahang tanpa kebenaran.

Tertuduh, Mohd. Isa Mohd Yusof, 36, berhadapan dengan 26 pertuduhan memasukkan nama 26 individu pelbagai bangsa termasuk warga asing berusia antara 34 hingga 61 ke dalam laman sesawang berkenaan.

Manakala seorang lagi tertuduh, Muhammad Amer Syafeeq Aziz, 30, berhadapan dengan tiga pertuduhan memasukkan tiga nama individu ke dalam laman sesawang tersebut.

Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 5 (1) Akta Jenayah Komputer 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 5(4) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya.

Artikel Berkaitan: