Kerajaan perlu kurangkan subsidi harga secara menyeluruh

Kerajaan terpaksa menanggung kos subsidi petrol tahun ini sebanyak RM37.3 bilion. (Gambar kecil: Nungsari)
Kerajaan terpaksa menanggung kos subsidi petrol tahun ini sebanyak RM37.3 bilion. (Gambar kecil: Nungsari)
A
A
A

SHAH ALAM - Mengambil kira faktor ekonomi negara masih dalam fasa pemulihan, kebergantungan kepada pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menangani masalah bebanan hidup rakyat bukanlah pilihan terbaik.

Sebaliknya Pakar ekonomi, Dr Nungsari Ahmad Radhi menyarankan, kerajaan perlu mengurangkan subsidi harga yang menyeluruh, sekali gus akan mengurangkan perbelanjaan kerajaan dan kemudiannya boleh diagihkan kepada program membantu isi rumah memerlukan.

“Mengambil kira kekangan seperti hutang negara dan liabiliti yang mencecah RM1.5 trilion, kerajaan sewajarnya mengurangkan perbelanjaan dana awam sekali gus tidak menambah lagi bebanan hutang sedia ada.

“Contohnya, daripada membelanjakan dana besar untuk subsidi harga petrol yang lebih memanfaatkan golongan kaya berbanding miskin dan sederhana, adalah lebih baik penjimatan itu diagihkan dalam bentuk bantuan tunai kepada kumpulan sasar seperti golongan B40,” ujarnya kepada Sinar Premium pada Rabu.

Sehubungan itu katanya, program bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat dapat membantu isi rumah yang terjejas dari segi pendapatan.

“Dalam situasi inflasi tinggi, bentuk sumbangan tunai seperti STR dapat memastikan kuasa beli isi rumah kekal.

“Namun ia tidak harus diberikan secara berterusan sebaliknya sebagai salah satu sumber pendapatan untuk isi rumah,” katanya.

Pada masa sama, Nungsari turut menegaskan, caruman KWSP tidak seharusnya diusik berikutan ia adalah simpanan untuk masa depan apabila tiba tempoh persaraan.

Artikel Berkaitan:

“Sebahagian besar golongan pekerja berpendapatan rendah dan sederhana majoritinya tidak akan mempunyai simpanan wang yang cukup apabila bersara, tidak sampai RM10,000 dalam akaun.

“Kita telah berdepan dengan prospek tersebut ekoran daripada keputusan membenarkan pengeluaran simpanan KWSP beberapa tahun yang lalu.

“Kalau masih diteruskan, lebih ramai akan bersara dalam kemiskinan,” kata beliau.