'Susah nak letak Piala AFF dalam kalendar FIFA'

B Sathianathan
B Sathianathan
A
A
A

CADANGAN menyenaraikan saingan Piala AFF dalam kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dianggap baik, namun mempunyai kekangan tertentu untuk dilaksanakan.

Jurulatih berpengalaman, B Sathianathan berkata, setiap liga domestik di rantau Asia Tenggara perlu diselaraskan terlebih dahulu selain perlu bermula dan berakhir serentak seperti liga di Eropah.

“Kalau betul nak letak dalam kalendar FIFA, memang baik, tetapi saya nampak susah. Sekarang kalendar amat padat dengan Kelayakan Piala Asia, Kelayakan Sukan Olimpik dan sebagainya. FIFA nak letak kejohanan ini di mana?

“Kalau Piala AFF nak letak dalam kalendar FIFA, semua liga di ASEAN ini haruslah diselaraskan. Tak bolehlah setiap liga domestik di Asia Tenggara bermula dengan tarikh yang berbeza-beza.

“Mereka kena ikut macam jadual di Eropah atau jadual Liga Jepun dan sebagainya. Jadi nak laksanakan cadangan ini kena lebih realistik," katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Terdahulu, Presiden FIFA, Gianni Infantino melihat keperluan untuk Piala AFF diletakkan dalam kalendar FIFA berdasarkan prestij yang ada pada kejohanan tersebut dalam kalangan negara ASEAN.

Pada masa sama, beliau turut mengakui kekangan yang akan berlaku untuk meletakkan penganjuran Piala AFF pada tarikh tertentu dalam kalendar FIFA.

“Piala AFF perlu dinaik taraf kepada kejohanan rasmi FIFA. Kita mesti memastikan kejohanan ini berkembang dengan lebih baik. Jika kita bekerjasama, saya pasti Piala AFF akan menjadi lebih besar dengan kelulusan FIFA,” ujar Infantino.

Dalam pada itu, Sathianathan berkata, satu kajian secara holistik harus dilakukan negara-negara ASEAN sebelum sebarang keputusan dibuat berhubung ‘khabar gembira’ yang dibawa Infantino.

Artikel Berkaitan:

“Seperti Eropah, mereka turut bermain dalam kalendar FIFA dalam saingan Liga Negara-Negara UEFA untuk layak ke saingan Euro. Daripada situ kita dah nampak ada penyelarasan.

“Di peringkat Asia, macam mana nak buat? ASEAN main satu kumpulan, Barat pula main satu kumpulan. Susah nak buat... jadi di mana nak letak Piala AFF dalam kalendar FIFA?,” soal Sathianathan.