Isu kemiskinan tegar, agenda utama KPDN dalam Bajet 2023

Salahuddin ketika berucap sebelum merasmikan pelancaran bakeri Kafe Paris Baguette di Pavilion, Bukit Bintang hari ini. - Foto Bernama
Salahuddin ketika berucap sebelum merasmikan pelancaran bakeri Kafe Paris Baguette di Pavilion, Bukit Bintang hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Usaha menangani isu kemiskinan tegar akan dijadikan sebagai agenda utama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam Bajet 2023 nanti.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, usaha itu merupakan satu keutamaan kepada Kerajaan Perpaduan, selain menjadi agenda nasional di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kita sasar untuk menyelesaikan isu ini, golongan miskin tegar yang jika mengikut statistik berjumlah hampir 127,000 di seluruh negara. Jadi kumpulan sasar inilah yang kita akan utamakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran bakeri Kafe Paris Baguette di Pavilion, Bukit Bintang hari ini.

Beliau berkata, kementeriannya telah memohon peruntukan bagi menyantuni golongan miskin tegar dan beliau berharap ia diberi perhatian oleh Menteri Kewangan dalam Bajet 2023 nanti.

Sementara itu semasa mengulas mengenai mesyuarat parti Amanah semalam, Salahuddin yang juga Timbalan Presiden parti berkata, Amanah sudah mula menggerakkan jenteranya untuk mendepani pilihan raya negeri (PRN).

"Langkah seterusnya adalah untuk kita PH (Pakatan Harapan) adakan mesyuarat awal dengan pihak Barisan Nasional (BN) supaya kita dapat selesaikan isu seperti kerusi (pembahagian), jadi kita telah mula," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: