[VIDEO] 4 juta kenderaan masuk Johor bermula Jumaat

Mohd Edir (kanan) melepaskan anggota penguat kuasa JPJ Johor sempena operasi Tahun Baharu Cina di Tol Kempas pada Rabu.
Mohd Edir (kanan) melepaskan anggota penguat kuasa JPJ Johor sempena operasi Tahun Baharu Cina di Tol Kempas pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebanyak empat juta kenderaan dijangka memasuki negeri ini sempena cuti sambutan Tahun Baharu Cina bermula Jumaat.

Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor, Mohd Edir Sanip berkata, jangkaan itu menunjukkan peningkatan dua kali ganda berbanding hari biasa.

Menurutnya, peningkatan itu boleh dilihat terutama di pintu utama masuk negeri seperti Tol Kempas, Tol Skudai, Tambak Johor dan Linkedua di Iskandar Puteri.

"Saya dimaklumkan oleh pihak PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan berlaku peningkatan jumlah kenderaan sebanyak dua kali ganda berbanding hari biasa disebabkan cuti selama empat hari sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

"JPJ Johor akan melaksanakan operasi dan penguatkuasaan dengan menggandakan penugasan keanggotaan di seluruh negeri. Seramai 170 anggota dan pegawai akan turun padang dalam operasi Tahun Baharu Cina kali ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Operasi Tahun Baharu Cina JPJ Johor di Tol Kempas di sini pada Rabu.

Mohd Edir berkata, JPJ turut akan memantau sebanyak 45 kawasan ‘hotspot’ yang kerap berlaku kemalangan di seluruh negeri.

"Daerah Johor Bahru merekodkan kawasan 'hotspot paling tinggi berbanding daerah lain. Oleh itu, rondaan dan penguatkuasaan akan dipertingkatkan bagi mengurangkan kadar kemalangan dan kematian ketika musim perayaan ini.

Artikel Berkaitan:

"Fokus akan diberikan kepada kesalahan utama yang kerap dilakukan antaranya tidak mematuhi isyarat lalu lintas, menggunakan telefon bimbit, memandu di lorong kecemasan dan memotong barisan," katanya.