'Prestasi Lee Tuck, Aguero hanya gred C' - Pekan

Lee Tuck (kiri) dan Aguero gagal memberikan impak sepatutnya pada kempen Piala AFF 2022.
Lee Tuck (kiri) dan Aguero gagal memberikan impak sepatutnya pada kempen Piala AFF 2022.
A
A
A

PENAMPILAN dua pemain naturalisasi, Lee Tuck dan Sergio Aguero dinilai belum mencapai tahap sepatutnya berdasarkan prestasi ditonjolkan mereka dalam kempen Piala AFF 2022 baru-baru ini.

Pemerhati sukan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, Le Tuck dan Aguero tidak menampilkan prestasinya sebagai pemain naturalisasi, selain tidak menjadi ‘kegemaran’ pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon dalam kesebelasan utama.

Malah, beliau turut memberikan penarafan gred C kepada Lee Tuck dan Aguero yang dianggapnya mempunyai standard permainan lebih kurang sama dengan pemain tempatan.

“Secara peribadi saya katakan bahawa saya tak nampak mereka berdua mencapai tahap sebagai pemain naturalisasi untuk kita gunakan khidmat mereka dalam skuad Harimau Malaya.

“Sebab saya nampak standard mereka lebih kurang sama dengan pemain tempatan yang kita ada. Cuma mungkin kita nampak lebih sedikit prestasi mereka dalam peringkat kumpulan seperti lawan Laos dan Singapura.

“Tetapi apabila berhadapan pasukan kuat seperti Vietnam dan Thailand, nampak seperti standard mereka itu tidak mampu membantu pasukan kebangsaan,” katanya kepada Sukan Sinar baru-baru ini.

Lee Tuck yang meledak dua gol ketika aksi persahabatan menentang Kemboja dan Maldives, lebih banyak bertindak sebagai pemain gantian dalam saingan Piala AFF kali ini.

Aguero juga tidak banyak mendapat tempat dalam kesebelasan utama Harimau Malaya dan kerap menjadi pemain gantian walaupun menyumbang satu gol ketika bertemu Laos serta Singapura.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Pekan turut memberikan contoh kualiti individu yang dimiliki Lee Tuck dan Aguero tidak mampu memacu Harimau Malaya ketika menentang Thailand dalam dua aksi separuh akhir.

“Kita mengambil mereka sebagai pemain naturalisasi dan apa yang kita harapkan daripada Lee Tuck serta Aguero adalah mereka jauh lebih baik daripada pemain tempatan.

“Namun, apabila pasukan berada dalam keadaan getir dan kita memerlukan lebih keupayaan pemain, saya tidak nampak mereka dapat memberikan sesuatu yang luar biasa kepada pasukan.

“Jadi, bagi saya mereka hanya layak dapat gred C untuk penampilan bersama skuad kebangsaan pada Piala AFF kali ini. Mereka berada pada tahap sederhana sahaja,” jelasnya.