Tesdec tawar 150 rumah dilengkapi tenaga solar

Antara kediaman di Terengganu yang menggunakan tenaga solar sebagai alternatif bagi menjimatkan penggunaan tenaga elektrik. - Gambar kecil: Ahmad Fadhil Ishtiyaq
Antara kediaman di Terengganu yang menggunakan tenaga solar sebagai alternatif bagi menjimatkan penggunaan tenaga elektrik. - Gambar kecil: Ahmad Fadhil Ishtiyaq
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (TESDEC) melalui anak syarikat Tesdec Services Sdn Bhd (TSSB) menyasarkan sebanyak 150 buah rumah untuk dilengkapi sistem tenaga solar pada tahun ini bagi membantu menjimatkan penggunaan tenaga elektrik.

Eksekutif Pembangunan Solar, Ahmad Fadhil Ishtiyaq Ahmed berkata, projek di bawah Program Solar Rakyat Terengganu (SORAT) itu terbuka kepada mereka yang memiliki bil elektrik berjumlah RM200 ke atas bagi membolehkan penggunaan daripada bil sedia ada dikurangkan kepada 90 peratus.

Beliau menjelaskan, anggaran kos bagi pemasangan solar di bumbung rumah ialah sebanyak RM4,300 bagi 1 kilowatt peak (kWp).

"Projek ini terbuka kepada semua dan lebih tertumpu kepada rakyat Terengganu di mana harga yang ditawarkan adalah lebih murah dan kondusif.

"Bagi bil elektrik RM300 sebulan, kita cadangkan untuk memasang sistem solar bersaiz 4.0 kWp. Selepas pemasangan solar, pengguna akan bayar bil elektrik kira-kira RM82 sebulan dengan penjimatan sebanyak 73 peratus.

"Proses penjimatan semakin tinggi apabila saiz sistem semakin besar. Jaminan bagi setiap peralatan solar adalah seperti fizikal panel solar selama 25 tahun, intverter (10 tahun) dan penyelenggaraan percuma selama dua tahun," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Ahmad Fadhil memberitahu, syarikat berkenaan telah memasang sistem solar berkapasiti antara 4 kWp sehingga 10 kWp di 15 buah rumah pada tahun lalu.

Ujarnya, penggunaan tenaga solar digalakkan kerana ia lebih mesra alam, bersih serta merupakan sumber tenaga alternatif yang tidak mencemarkan alam sekitar.

Artikel Berkaitan:

"TSSB merupakan pemilik kepada ladang solar di Dungun berkapasiti 3.5Mwac yang diselia oleh Tesdec Green Energy Sdn Bhd (TGESB) dengan menyalurkan tenaga untuk kegunaan bandar Dungun.

"TSSB juga telah menceburi bidang janakuasa hidro melalui anak syarikat Tesdec Hydropower Sdn Bhd yang akan membangunkan stesen jana kuasa mini di Sungai Pelagat, Besut berkapasiti 3.5Mwatt.

"Pihak TSSB kini giat melaksanakan proses pemasangan solar di bangunan-bangunan kerajaan seluruh Terengganu antaranya bangunan Pesaka Terengganu Berhad (PESAKA) di Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), Dungun dan di bangunan Tesdec Berhad sendiri," ujarnya.