Rasuah polis RM200, pemandu van didenda RM10,000, jel 10 hari

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A
BUTTERWORTH - Seorang pemandu van dihukum penjara 10 hari dan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu selepas mengaku bersalah memberi suapan RM200 kepada seorang anggota polis pada Jun 2021.

Hakim Zulhazmi Abdullah turut mengarahkan M Kalaithasan, 53, dipenjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Kalaithasan dituduh memberi suapan RM200 kepada seorang anggota polis berpangkat Koperal sebagai dorongan untuk tidak menahan dan menyamannya yang telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) iaitu membawa lebih muatan orang melebihi kapasiti yang dibenarkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Lorong Perusahaan 4, di hadapan sebuah kilang di Bukit Tengah, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang pada 5.10 petang, 28 Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh di hukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.
Artikel Berkaitan:


Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Kalaithasan yang tidak diwakili peguam sebelum itu memohon kepada mahkamah agar mengenakan hukuman denda yang minimum atas alasan dia sudah tidak bekerja selama dua bulan selain perlu menanggung isteri, anak masih bersekolah dan ibu yang sudah tua.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya SPRM Afiqa Liyana Rozman memohon mahkamah mengenakan hukuman yang setimpal dengan tahap keseriusan kesalahan rasuah yang boleh mendatangkan kerosakan kepada masyarakat dan ekonomi jika tidak dibendung. - Bernama