Tiada Kerajaan Perpaduan tanpa UMNO - Nur Jazlan

Nur Jazlan
Nur Jazlan
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Pemimpin UMNO Johor mengingatkan beberapa pimpinan daripada DAP dan PKR bahawa Kerajaan Perpaduan yang dibentuk tidak akan berjaya tanpa bantuan dan sokongan UMNO.

Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed mendakwa, terdapat segelintir pemimpin daripada kedua-dua parti tersebut mula menunjukkan 'belang' dalam Kerajaan Perpaduan dan campur tangan dalam hal ehwal UMNO.

Antaranya termasuklah Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, P Ramasamy yang mula menyentuh isu sensitif membabitkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Pemimpin utama DAP memang tahu mereka tak boleh jadi kerajaan macam hari ini kalau hanya harapkan undi daripada bukan Melayu.

"Mereka tahu tanpa kerjasama dengan UMNO, mereka tak dapat bergelar menteri dalam Kerajaan Perpaduan sehingga mereka sanggup akur menerima kuota menteri dan timbalan menteri yang sedikit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahad lalu, Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang dilaporkan menyelar Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) sebagai 'beban' kepada PH dan Kerajaan Perpaduan yang kini disertai parti tersebut bersama beberapa parti komponen lain.

Ramasamy berkata, Ahmad Zahid juga menjadi duri dalam daging bagi UMNO selagi beliau kekal sebagai presiden parti itu setelah keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) meluluskan usul jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti pada Mei nanti.

Mengulas lanjut, Nur Jazlan menjelaskan, kepimpinan UMNO dan ahli akar umbi parti sudah mula berlapang dada dan terpaksa menelan segala prejudis menerima kerjasama antara UMNO dan PH bagi membentuk Kerajaan Perpaduan, dalam masa sama mengharapkan parti-parti lain turut menerima gabungan politik baharu itu.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga mengingatkan pemimpin-pemimpin parti terlibat tidak meniru sikap sekumpulan penentang minoriti dalam UMNO yang sentiasa cari jalan untuk pecahkan parti dan meneruskan agenda kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).

"Sebab itulah mereka sanggup buka cerita dalam kain seperti surat akuan bersumpah (SD) dan aku janji calon PRU15 lalu. Mereka membocor dan menularkan surat-surat berkenaan dengan tujuan mahu memburukkan imej Presiden dan parti UMNO.

"Saya percaya parti lain seperti DAP pun ada surat SD dan aku janji mereka sendiri tapi mereka tak ada sibuk-sibuk nak dedahkan kepada umum, mereka tahu jaga hal ehwal rumah tangga sendiri," ujarnya.