PRN platform sesuai zahir protes keputusan PAU 2022
Syed Mohd Syed Nasir
A
A
A
Aktivis Pergerakan Pemuda UMNO, Syed Mohd Syed Nasir berkata, PRN adalah platform sesuai menzahirkan ketidakpuasan hati selepas Persidangan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) membuat keputusan tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi.
Jelas beliau, ketiadaan pertandingan dua jawatan tertinggi UMNO itu seakan membunuh demokrasi walaupun dikatakan 'mendapat' sokongan sebulat suara perwakilan dalam PAU 2022 baru-baru ini.
"Keputusan ini juga memberikan gambaran buruk kepada rakyat bahawa parti ini tidak lagi relevan kepada orang muda kerana perwakilan yang hadir dalam PAU 2022 hakikatnya tidak sepenuhnya membawa suara akar umbi.
"Menggunakan alasan takut kepada perpecahan dalam parti hanyalah retorik semata-mata kerana apa yang sebenarnya adalah untuk adalah demi mengekalkan jawatan mereka sebagai pimpinan tertinggi kerajaan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, keputusan tidak mengadakan pertandingan dua jawatan utama itu juga memberi kesan yang kuat terhadap golongan muda untuk tidak lagi menjadikan UMNO atau BN sebagai parti pilihan mereka.
Syed Mohd mendakwa, sebahagian Ketua UMNO Bahagian serta wakil rakyat BN seperti takut untuk menyuarakan hakikat sebenar kerana bimbang akan diambil tindakan seperti yang berlaku kepada pemimpin tertinggi sebelum ini.
Justeru katanya, rakyat serta ahli UMNO di peringkat akar umbi menerusi PRN harus menghantar mesej dalam bentuk protes itu supaya parti berkenaan dapat dirombak dan secara tidak langsung meremajakan semula UMNO.
"Hasil daripada risikan kami mendapati rakyat secara amnya masih boleh menerima kembali UMNO sebagai parti pilihan mereka, namun bukan pemimpin yang menerajuinya sekarang ini.
"Malah ada Parlimen yang mempunyai puluhan ribu ahli kalah atau hampir kalah kepada parti baharu yang hanya mempunyai ratusan penyokong sahaja dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)," katanya.
Syed Mohd turut mengajak ahli UMNO merenung sejenak serta mengkaji semula kekalahan yang berlaku dalam PRU15 kerana daripada pengamatan itu nanti akan terungkai segala jawapan sebenar yang perlu dilakukan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!