Rasuah 'lori kebal': 24 anggota JPJ digantung kerja

Shaharuddin (dua dari kiri) pada Sidang Media JPJ di Putrajaya hari ini.
A
A

PUTRAJAYA - Anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kelmarin berhubung kes rasuah akan digantung kerja selama dua bulan.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Shaharuddin Khalid berkata, penggantungan kerja itu mengikut Peraturan 43, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Menurutnya, buat masa ini tindakan dalaman tidak dilakukan supaya tidak mengganggu proses siasatan pihak berkuasa.

"Kita akur dengan penahanan tersebut kerana ia merupakan tugas utama SPRM berhubung integriti.

"Bagaimanapun, tiada kompromi mana-mana anggota JPJ yang terlibat dengan isu rasuah. Sekiranya terdapat tangkapan atau penahanan, kita akan bantu untuk siasatan lanjut," katanya pada Sidang Media JPJ di Ibu Pejabat JPJ hari ini.

Mengulas lanjut mengenai kutipan hasil, Shaharuddin berkata, sasaran pada tahun ini sebanyak RM4.3 bilion berbanding tahun lalu sebanyak RM4.2 bilion.

Jelasnya, jika berlaku isu rasuah seperti ini, seolah-olah melambangkan terdapat ketirisan dalam kalangan anggotanya.

"Di samping mengutip hasil yang banyak untuk kerajaan matlamat saya mahu melihat seramai 8,000 anggota JPJ di seluruh negara sebagai agensi cemerlang dan berintegriti.

ARTIKEL BERKAITAN: Penguat kuasa JPJ antara yang diberkas lindungi sindiket 'lori kebal'

24 anggota JPJ direman bantu siasatan kes 'lori kebal'

Semalam, seramai 30 individu termasuk 24 anggota penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan SPRM Pulau Pinang berhubung kes rasuah.

Perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Kanan, Nur Fadrina Zulkhairi di Mahkamah Majistret George Town pada Rabu.

Kesemua suspek direman mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia