Conte harap Heung-min temui sentuhan jaringan

Conte mahu melihat Heung-min kembali meledak gol.
Conte mahu melihat Heung-min kembali meledak gol.
A
A
A

PENGENDALI Tottenham Hotspur, Antonio Conte mengharapkan Son Heung-min akan menemui sentuhan gol untuk membantu pasukan kembali mendapat rentak positif dalam setiap perlawanan.

Bintang Korea Selatan itu setakat ini hanya menjaringkan enam gol dan dua bantuan gol dalam 24 penampilannya di semua kejohanan musim ini.

Malah, Heung-min hanya mampu mencetak satu gol dalam 11 pertandingan terakhir buat Tottenham iaitu ketika menentang Crystal Palace dalam kemenangan 4-0 pada 4 Januari lalu.

"Sudah tentu apabila bercakap mengenai Son, musim lalu dia mencetak 25 gol. Musim ini tidak terlalu banyak. Bagi kami ini bukan sesuatu yang bagus kerana kami mengharapkan gol daripadanya.

"Kemudian, kita juga bercakap tentang seorang manusia dan bukan robot. Saya mengharapkan dia dapat mula menjaringkan gol dengan tekanan atau tanpa dibebani tekanan," katanya.

Prestasi Heung-min merosot dengan sangat ketara berbanding musim lalu apabila dia berjaya menjadi watak penting Spurs dengan 24 gol dan 10 bantuan gol dalam 45 perlawanan.

"Inilah bola sepak. Kami harus cuba menghadapi situasi ini dengan para pemain. Perkara paling penting adalah saya menyaksikan dalam latihan dan perlawanan, dia sudah melakukan yang terbaik," katanya.

Spurs sedang melalui prestasi buruk selepas tewas 0-2 kepada Arsenal Isnin lalu yang menyaksikan mereka gagal memenangi empat perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris.

Artikel Berkaitan: