‘PSM masih belum menerima apa-apa surat’

Mohd Sumali
Mohd Sumali
A
A
A

STATUS empat badan induk negeri yang sebelum ini bernaung di bawah Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (Mastaf) iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan Labuan, Putrajaya dan Sarawak masih dalam peringkat perbincangan, sekiranya empat persatuan itu mahu kembali bersama Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM).

Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang permohonan daripada ketiga-tiga persatuan negeri berkenaan.

“PSM masih belum menerima apa-apa surat yang mengatakan mereka bersetuju untuk kembali menyertai kami. Namun, difahamkan Selangor akan menghantar surat kepada kami (PSM) pada minggu hadapan, tapi kita tunggu sahaja apa yang akan berlaku.

“Saya juga masih menunggu keputusan rasmi kedudukan kami (PSM) dalam arena sepak takraw, masih belum ada maklum balas dari Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf), Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf).

“Mungkin kerana mereka tunggu status Mastaf atau macam mana, tetapi PSM masih akan berjalan macam biasa,” katanya selepas menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) bersama Persatuan SepakTakraw Malaysia (PSM), Muezza Education Group Sdn Bhd dan Persatuan Pengusaha & Penggerak Industri Drone (MyDrone) di Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin pada Selasa.

Kemelut sepak takraw negara bermula apabila Astaf menyingkirkan PSM pada Mei 2021 susulan tindakan presidennya ketika itu, Datuk Seri Ahmad Ismail, menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden Astaf, pada 24 Februari tahun lalu.

Mastaf pula merupakan badan induk sepak takraw negara yang sah selepas diiktiraf sebagai ahli baharu Astaf Mac lalu dan turut diterima menjadi ahli gabungan Istaf pada April.

Untuk rekod, pada 20 Disember lalu, Presiden Mastaf, Datuk Suhaili Abdul Rahman telah mengumumkan pembubaran bandan induk itu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohd Sumali memaklumkan PSM sudah menghantar senarai baharu barisan pemain dan kejurulatihan kepada Majlis Sukan Negara (MSN), untuk melalui proses penelitian bagi memastikan skuad kebangsaan yang dibentuk benar-benar mantap.

Katanya, rombakan itu bakal memberi nafas baharu dalam arena sepak takraw tanah air, sekali gus memastikan sukan berkenaan mampu melakar kejayaan dalam beberapa siri kejohanan penting tahun ini, seperti Sukan SEA Kemboja 2023 dan Sukan Asia 2023.

“Tidak banyak yang saya dapat kongsikan, melainkan sudah menghantar senarai rombakan jurulatih dan pemain yang baharu kepada MSN beberapa hari lalu. Saya janji sebanyak 50 peratus perubahan akan dilakukan dalam struktur jurulatih dan pemain.

“Namun, masih terdapat gabungan yang lama dan baharu, di mana mesyuarat jawatankuasa akan diadakan bersama MSN hujung bulan ini, kerana dari pihak kami (PSM) hanya boleh memberi senarai nama, manakala keputusan dan kontrak baharu itu terletak pada mereka (MSN),” katanya.