Peniaga mengaku tak salah memperdagangkan lima warga Indonesia

Eng Lee menutup muka sebaik keluar dari Mahkamah Sesyen Butterworth pada Selasa.
Eng Lee menutup muka sebaik keluar dari Mahkamah Sesyen Butterworth pada Selasa.
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth di sini, atas lima pertuduhan memperdagangkan empat lelaki dan seorang wanita warga Indonesia pada Disember lalu.

Tertuduh, Ng Eng Lee, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Mengikut kertas pertuduhan, Eng Lee didakwa memperdagangkan kelima-lima mangsa berusia di antara 30 hingga 40 tahun bagi maksud mengeksploitasi aktiviti menyalahi undang-undang dengan cara penyalahgunaan kedudukan orang yang mudah terdedah kepada bahaya.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis di Pusat Perniagaan Seri Juru dan sebuah rumah di Taman Seri Juru, Bukit Mertajam pada 22 Disember tahun lalu antara jam 2 pagi hingga 3.05 petang.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh dikenakan denda.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Qatrin Nada Harun manakala tertuduh diwakili peguam, Benjamin Tan Yi Bin.

Sebelum itu, pihak pendakwa raya tidak menawarkan sebarang ikat jamin terhadap tertuduh namun Benjamin memohon agar jaminan diberikan berikutan tertuduh tidak berisiko untuk melarikan diri selain telah memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan dijalankan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh mesti menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga selesai perbicaraan kes.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, mahkamah turut menetapkan 21 Februari depan untuk sebutan semula kes.