UMNO ulangi 'permainan' lama kawal peruntukan

Muhammad Irsyad Syafiq.
Muhammad Irsyad Syafiq.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pemuda Pas Terengganu mendakwa UMNO mengulangi 'permainan' lama dengan menubuhkan Jawatankuasa Pembangunan Persekutuan (JPP) bagi mengawal peruntukan Kerajaan Pusat daripada disalurkan terus kepada kerajaan negeri.

Ketua Penerangannya, Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin berkata, penubuhan jawatankuasa itu disifatkan mempunyai kepentingan politik termasuk menganaktirikan negeri-negeri yang tidak sealiran dengan Pusat.

Jelasnya, Kelantan dan Terengganu antara negeri yang sangat terkesan dengan kewujudan JPP kerana berlaku sekatan terhadap peruntukan yang diberikan.

"Penubuhan JPP bukan satu perkara asing lagi kerana selama ini UMNO telah menggunakan kaedah ini untuk mengawal peruntukan kerajaan Persekutuan dari disalurkan terus kepada kerajaan negeri yang tidak sealiran dengan mereka.

"Antaranya, saluran hasil royalti yang sepatutnya diberikan kepada kerajaan Terengganu sebanyak 5 peratus telah diturunkan melalui JPP dan seterusnya diagihkan dalam bentuk wang ihsan untuk memancing undi bagi menjatuhkan kerajaan Pas ketika itu.

"Lebih teruk lagi di Kelantan, sehingga hari ini hak royalti mereka masih dinafikan lagi, "katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.

Muhammad Irsyad Syafiq mendakwa, Pakatan Harapan (PH) juga mengambil pendekatan sama ketika memerintah dengan cuba mewujudkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) bagi mewakili kerajaan Persekutuan di negeri yang tidak sehaluan.

Menurutnya, usaha itu sebaliknya terbantut apabila Perikatan Nasional (PN) menjadi kerajaan dan memberi mandat secara adil kepada setiap kerajaan negeri termasuk agihan peruntukkan kepada ahli Parlimen pembangkang.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberitahu, penubuhan JPP juga mencerminkan kegagalan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sentiasa melaungkan isu integriti dan keadilan buat semua.

"Kerajaan Persekutuan selaku seorang ayah perlu bersifat matang dengan memberikan hak yang sewajarnya kepada negeri-negeri yang ada dalam negara secara adil supaya dapat memacu pembangunan dan membela rakyat.

"Sebaliknya, penubuhan JPP dilihat akan mencabul hak federalisme dan autonomi kerajaan negeri yang tidak sealiran kerana rakyat telah memilih siapa yang berhak mentadbir di kawasan masing-masing. Jadi, jangan tekan dan hukum rakyat.

"Tidak perlu bimbang dari segi ketelusan agihan kerana empat negeri yang tidak sehaluan dengan kerajaan Persekutuan itu ditadbir Pas yang telah terbukti tiada kes rasuah dan salah guna wang seperti yang ada dalam BN dan PH," ujarnya.

Sebelum ini, kerajaan berhasrat membentangkan cadangan penubuhan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan JPKKP kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keanggotaan ahli JPKK dan JPKKP yang dibentuk perlu mengambil kira komposisi parti komponen Kerajaan Perpaduan sebagai menyokong prinsip sealiran dalam kerajaan kini.