Mbappe gagal bantu PSG raih kemenangan

Mbappe (kiri) gagal membantu PSG menyekat kemenangan Rennes 1-0 pada Isnin. - Foto AFP
Mbappe (kiri) gagal membantu PSG menyekat kemenangan Rennes 1-0 pada Isnin. - Foto AFP
A
A
A

PEMAIN sensasi, Kylian Mbappe membuat penampilan ke-200 dalam saingan Ligue 1, namun gagal membantu Paris Saint-Germain (PSG) meraih keputusan positif apabila tewas mengejut 0-1 kepada Rennes pada Isnin.

Gol tunggal kapten, Hamari Traore pada minit ke-65 sudah cukup buat Rennes meraih tiga mata berharga untuk mengutip 37 mata dan berada di kedudukan kelima liga.

Kekalahan itu hanya memberi kelebihan tiga mata kepada PSG yang mengumpul 47 mata untuk memimpin carta liga dengan pencabar terdekat Lens (44 mata).

Mbappe yang masuk sebagai pemain gantian mempersiakan peluang untuk menyamakan kedudukan selepas melepaskan rembatan, namun dinafikan palang gol dan keputusan kekal hingga tamat masa permainan.

Ia merupakan kekalahan kedua berturut-turut PSG di tempat lawan selepas tewas 1-3 berdepan Lens pada Tahun Baharu.

PSG melalui 23 perlawanan tanpa kalah sepanjang musim dan kekalahan tersebut membuka peluang kepada pencabar untuk merebut gelaran.

Kekalahan tersebut juga mengundang kecewa jurulatih PSG, Christophe Galtier apabila merungut 'tiada langsung pemain dalam kotak penalti' apabila meletakkan Mbappe di bangku simpanan.

"Saya kecewa dengan persembahan kami kerana terlalu mudah melepaskan gol dan tidak mencipta apa-apa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Aksi itu juga adalah kali pertama buat Mbappe, Lionel Messi dan Neymar tampil di padang bersama sejak trio serangan PSG itu kembali daripada Piala Dunia 2022 di Qatar bulan lalu.

Messi diberikan cuti tambahan selepas membantu Argentina melakar kejayaan memenangi Piala Dunia di Doha.

Mbappe pula beraksi dalam dua perlawanan awal bersama PSG selepas Piala Dunia sebelum mengambil cuti untuk ke New York bersama rakan sepasukan, Achraf Hakimi.