UMK, 15 industri pelancongan bantu mangsa banjir

Kesemua yang hadir bergambar sempena program We Care We Share pada Isnin. - Foto UMK
Kesemua yang hadir bergambar sempena program We Care We Share pada Isnin. - Foto UMK
A
A
A

KOTA BHARU - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan 15 pemain industri serta persatuan pelancongan bergabung tenaga bagi membantu meringankan beban mangsa banjir di seluruh negara.

Dekan Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan (FHPK) UMK, Dr Roslizawati Che Aziz berkata, gabungan FrenZ@FHPK UMK tersebut bertujuan menyalurkan pelbagai bantuan keseluruhan berjumlah RM100,000 kepada golongan terjejas akibat bencana menerusi program We Care We Share.

“Program berkenaan merupakan cetusan idea penuntut dan staf FHPK yang sukarela mahu membantu golongan memerlukan.

“Program juga bertepatan dengan situasi semasa yang dialami oleh penduduk terutama di negeri Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang akibat bencana Monsun Timur Laut (MTL),” katanya selepas Program We Care We Share di sini pada Isnin.

Turut hadir, bekas Diplomat dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London, Datuk Seri Zakaria Sulong yang menyampaikan sumbangan.

Zakaria (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada penerima pada program We Care We Share. - Foto UMK
Zakaria (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada penerima pada program We Care We Share. - Foto UMK

Beliau berkata, gabungan warga universiti dan industri pelancongan itu antaranya melibatkan penyerahan sumbangan kepada 20 keluarga asnaf, 160 penuntut dan staf UMK, 50 komuniti di Pasir Puteh serta 11 pengamal media Kelantan yang terkesan banjir.

“Sumbangan disalurkan berbentuk sejumlah wang tunai, makanan keperluan asas seperti beras, makanan asas, air mineral serta barangan lain iaitu selimut, tilam dan bantal.

Artikel Berkaitan:

“Program akan diadakan secara berterusan dan penyertaan lebih banyak industri, agensi, badan bukan kerajaan (NGO) dan usahawan serta orang perseorangan amatlah dialu-alukan,” katanya.