Prosiding bela diri Ahmad Zahid dijadualkan semula April depan

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, buat kali pertama tahun ini, selepas bergelar Timbalan Perdana Menteri bagi menghadapi perbicaraan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Bagaimanapun, prosiding di hadapan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah dijadualkan semula bermula 10 April depan.

Mahkamah menetapkan perbicaraan Presiden UMNO itu dijalankan selama 27 hari, iaitu lima bulan berturut-turut bermula April hingga Ogos depan.

Tarikh-tarikh itu ialah 10 April hingga 13 April, 15 Mei hingga 18 Mei, 12 hingga 15 Jun, 24 hingga 27 Julai dan Ogos pada 1 hingga 3, 7 hingga 10 dan 21 hingga 24.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran menarik perhatian mahkamah, dengan memulakan prosiding sebutan kes dan merujuk Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Tertuduh atau lebih tepat saya katakan Timbalan Perdana Menteri, berada dalam kandang tertuduh, bagi sebutan kes untuk menetapkan tarikh perbicaraan tambahan membela diri kesnya,'' kata Raja Rozela.

Ahli Parlimen Bagan Datuk yang turut dilantik sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu, diwakili peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik dan Datuk Ahmad Zaidi Zainal.

Ahmad Zahid, 70, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!