Hutang duit untuk isi perut

Kamaruzaman mengutip getah yang ditoreh.
Kamaruzaman mengutip getah yang ditoreh.
A
A
A

KOTA BHARU - Kesukaran dialami penoreh getah akibat cuaca hujan tidak menentu dan harga getah yang didakwa terlalu murah menyebabkan ada dalam kalangan mereka yang terpaksa berhutang untuk mengisi perut.

Penoreh getah, Mariam Seman, 45, berkata, sepanjang tahun lalu, penoreh-penoreh getah di Kampung Baroh Pial, Rantau Panjang hanya sempat sebulan menoreh sebelum Aidilfitri tahun itu iaitu pada April manakala tempoh selebihnya tidak dapat dilakukan kerana hujan.

“Ketika itu harga lantai getah sekerap ialah RM2.40 sekilogram. Saya menoreh, dapatlah RM300 hasil daripada 125 kilogram (kg) getah selepas dibahagi dua dengan pemilik kebun.

“Itu sahaja untuk persiapan hari raya. Selain itu, saya banyak meminjam duit dengan tauke getah. Kadang-kadang berhutang RM50 atau RM100 sebulan untuk membeli lauk pauk,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Ibu dua anak itu berkata, suaminya Kamaruzaman Hasan, 52, juga adalah penoreh getah menyebabkan mereka sekeluarga bergantung sepenuhnya kepada sumber pendapatan tersebut.

Tambah Mariam yang juga mangsa banjir, kejadian bencana Monsun Timut Laut pada Disember tahun lalu turut menjejaskan hasil kutipan getah kerana dihanyutkan air dan hanya memperoleh lebihan getah sejumlah 84kg bernilai kira-kira RM200 sahaja.

Menurutnya, harga getah yang rendah juga menyebabkan penoreh getah kurang bersemangat untuk keluar menoreh lebih-lebih lagi jika harga turun sehingga paras RM2.30 sekilogram.

“Saya cadangkan kerajaan berikan bantuan bulanan minimum RM100 kepada setiap penoreh bagi meneruskan kehidupan ditambah dalam keadaan semua barangan keperluan mahal ketika ini.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan juga perlu menaikkan harga lantai getah bagi membantu pekebun dan penoreh getah.

“Tetapkan dan kekalkan harga lantai getah RM3 sekilogram atau lebih tinggi,” katanya yang turut mempunyai kebun getah sendiri seluas 0.8 hektar.

Pada Sabtu, Ahli Parlimen Padang Terap, Alor Setar, Nurul Amin Hamid meminta kerajaan segera melaksanakan pelan pemulihan sektor komoditi getah terutama menaikkan harga lantai getah bagi membantu 500,000 pekebun kecil dan penoreh getah di seluruh negara.