Penuntut UniSZA cipta sembilan produk makanan baharu

Universiti Sultan Zainal Abidin. - Foto Bernama
Universiti Sultan Zainal Abidin. - Foto Bernama
A
A
A

JERTIH - Sekumpulan penuntut ​​​​​​Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berjaya mencipta sembilan produk makanan baharu berasaskan protein daripada tumbuhan dan ikan selayang.

Dekan Falkulti Bio Sumber dan Industri Makanan UNiSZA, Prof Dr Hafizan Juahir berkata, produk berkenaan dihasilkan oleh penuntut tahun akhir Sarjana Muda Teknologi Makanan sebagai hasil pembelajaran daripada kursus Pembangunan Produk Makanan.

"Sembilan produk yang dihasilkan itu ialah makanan altenatif bagi menggantikan makanan berasaskan daging atau ayam yang biasa ada di pasaran.

"Antaranya mereka menghasilkan Veganic Patty iaitu isi burger yang mempunyai rasa seakan-akan daging tetapi dihasilkan 100 peratus daripada sayur-sayuran iaitu cendawan tiram dan kacang soya,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Produk Makanan Baharu di UniSZA Kampus Besut di sini, hari ini.

Katanya, produk lain yang dihasilkan ialah sosej dibuat daripada ikan yang siap boleh dimakan tanpa perlu digoreng atau direbus.

Menurut Hafizan lagi, sosej itu juga tidak perlu disimpan di dalam peti sejuk dan mampu bertahan sehingga dua tahun walaupun disimpan dalam suhu bilik biasa.

"Setakat ini sosej seperti ini yang ada di pasaran adalah yang diimport dari luar negara dan itupun kebanyakannya berperisa daging atau ayam sahaja,” katanya.

Bagaimanapun katanya, beberapa penambahbaikan perlu dilakukan pada produk yang dihasilkan seperti harga yang kompetitif di pasaran dan kos pengeluaran tidak tinggi untuk menarik pelanggan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya sedang berusaha untuk menyediakan bantuan dana awal kepada lepasan jurusan berkenaan yang berhasrat untuk menjadi usahawan makanan setelah menamatkan pengajian.

"UniSZA juga bersedia menyediakan kemudahan yang ada di fakulti seperti makmal bagi memudahkan mereka melakukan kajian bagi menghasilkan produk yang berkualiti,” katanya. - Bernama