Budak cedera ringan kemalangan dua kereta

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - Seorang kanak-kanak cedera ringan manakala empat lagi selamat dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di hadapan Terminal Sentral Kuantan (TSK) Jalan Pintasan Kuantan (Bypass) menghala ke Semambu pada Jumaat.

Mangsa berusia sembilan tahun yang beralamat di Indera Mahkota mengalami lebam pada bahagian pipi sebelah kiri akibat kemalangan membabitkan kenderaan jenis Nissan Frontier dan Honda City pada jam 4.30 petang itu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu kenderaan Honda City dalam perjalanan dari Indera Mahkota menuju ke Kotasas.

Menurutnya, kenderaan yang dipandu wanita berusia 39 tahun itu secara tiba-tiba hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang kenderaan yang dipandu seorang juru teknik berumur 41 tahun yang berhenti di lorong kecemasan.

"Akibat daripada kemalangan tersebut, salah seorang penumpang hadapan kenderaan Honda City telah mengalami kecederaan ringan dan dirawat di Unit Pesakit Luar Kecemasan Hospital Universiti Islam Antarabangsa Kuantan dan dibenarkan pulang selepas dirawat," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau menjelaskan hasil siasatan pihak polis, kemalangan berlaku atas kecuaian wanita terbabit.

"Kes disiasat di bawah Kaedah-kaedah Lalu Lintas 1959 kerana gagal mengawal pemanduan dengan baik semasa memandu kenderaan," ujarnya beliau.

Sehubungan itu, orang ramai sentiasa diingatkan agar memandu dengan berhari-hati dan patuh kepada peraturan jalan raya yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan: