Agak pelik yang bawa usul UMNO Rembau - KJ

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyifatkan usul tambahan supaya dua jawatan tertinggi dalam UMNO tidak dipertandingkan pada pemilihan parti yang dijangka berlangsung pada Mei ini sudah dijangka.

Bagaimanapun jelas bekas Menteri Kesihatan itu, apa yang menimbulkan persoalan adalah bagaimana usul itu boleh dikemukakan oleh wakil Negeri Sembilan, Mohd Shukri Samsudin.

Ini kerana jelasnya, Mohd Shukri juga mewakili UMNO Bahagian Rembau, di mana Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan merupakan ketua bahagian berkenaan.

"Orang Rembau ini kenal lah siapa Shukri Samsudin ini, dan saya nampak agak pelik lah yang (UMNO) Rembau bawa usul ini.

"Penambahan usul yang dia bawa ialah supaya tidak ada pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden. Pelik sebab Timbalan Presiden (Datuk Seri Mohamad Hasan) adalah Ketua Bahagian UMNO Rembau.

"Kalau nak bawa usul penambahan pun 'cover' lah sikit. What happen to you Mat Hasan?," katanya dalam satu rakaman video yang dimuat naik di laman sosial TikTok pada Sabtu.

Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau menambah, usul tambahan tersebut telah menerima reaksi negatif dalam kalangan beberapa pembahas pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini.

"Jadi usul ini sedang dibahaskan tetapi mendapat tentangan yang hebat daripada beberapa pembahas dari Wilayah Persekutuan dan Johor, yang masih berani untuk menghormati kehendak perwakilan supaya demokrasi dapat djalankan seperti biasa di dalam parti UMNO.

Artikel Berkaitan:

"Banyak juga perwakilan yang 'boo' sewaktu dia membuat penambahan pada saat-saat akhir kepada usul jawatan nombor satu dan dua tidak ada pertandingan," katanya.

Ketika ini isu pemilihan UMNO menjadi tumpuan ramai selepas wujud cadangan agar dua jawatan tertinggi dalam parti Melayu terbesar itu tidak dicabar.