PKNS lancar projek rumah mampu milik Intana Ria 3 di Bangi

Orang awam melihat pameran rumah sempena pelancaran Intana Ria 3 di Bandar Baru Bangi pada Sabtu.
Orang awam melihat pameran rumah sempena pelancaran Intana Ria 3 di Bandar Baru Bangi pada Sabtu.
A
A
A

PERBADANAN Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melancarkan kediaman mampu milik berkepadatan rendah, Intana Ria 3 di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi.

Projek kediaman 13 tingkat mempunyai 200 unit itu dikelilingi perbandaran Bandar Baru Bangi yang serba lengkap berdekatan sekolah, masjid, restoran, pusat perubatan dan pejabat kerajaan.

Malah, lokasinya hanya 13 minit dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Hartanah) PKNS, Ir Md Kamarzan Md Rais berkata, projek berkenaan dibina di kawasan seluas 1.14 hektar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM78 juta dan ia merupakan fasa akhir kediaman Intana Ria yang dibina PKNS sejak 1998 di Bandar Baru Bangi.

Menurutnya, projek itu telah mula dijalankan dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun membabitkan saiz binaan unit seluas 906.86 kaki persegi.

Md Kamarzan (dua dari kiri) memotong reben sempena pelancaran Intana Ria 3 di Bandar Baru Bangi pada Sabtu.
Md Kamarzan (dua dari kiri) memotong reben sempena pelancaran Intana Ria 3 di Bandar Baru Bangi pada Sabtu.

"Setiap unit mempunyai tiga bilik tidur, dua bilik mandi dan peruntukan dua tempat letak kereta setiap satu.

"Kediaman ini turut dilengkapi kemudahan seperti kolam renang, gimnasium luar, ruang musolla, bilik bacaan, dewan serbaguna dan taman permainan kanak-kanak," katanya pada pelancaran Intana Ria 3 di sini pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Mereka yang ingin memiliki unit Intana Ria 3 boleh mengunjungi rumah pameran pada pelancaran yang dijalankan selama dua hari pada 14 Januari dan 15 Januari ini dari jam 10 pagi hingga 4 petang.

Beliau berkata, PKNS meletakkan sasaran kesemua unit terjual secepat mungkin sebolehnya sebelum hujung tahun ini menerusi promosi diskaun ditawarkan.

Pameran rumah sempena pelancaran Intana Ria 3 di Bandar Baru Bangi pada Sabtu.
Pameran rumah sempena pelancaran Intana Ria 3 di Bandar Baru Bangi pada Sabtu.

"Harga yang ditawarkan antara RM399,000 hingga RM423,000 adalah munasabah dengan kemudahan yang disediakan dan berharap orang ramai mengambil peluang membeli kediaman ini.

"Penduduk mempunyai banyak pilihan hab pengangkutan seperti stesen KTM dan MRT Kajang serta perkhidmatan RapidKL.

"Jaringan akses keluar ke Kuala Lumpur juga mudah melalui beberapa lebuh raya antaranya Kajang Silk, Lebuhraya MEX dan Lebuhraya Kajang-Seremban," katanya.