Laksana segara pelan pemulihan komoditi getah

Kerajaan perlu segera menaikkan harga lantai getah bagi membantu pekebun dan penoreh getah. - Gambar hiasan (Gambar kecil; Nurul Amin Hamid)
Kerajaan perlu segera menaikkan harga lantai getah bagi membantu pekebun dan penoreh getah. - Gambar hiasan (Gambar kecil; Nurul Amin Hamid)
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan perlu segera melaksanakan pelan pemulihan sektor komoditi getah terutama menaikkan harga lantai getah bagi membantu pekebun dan penoreh getah.

Ahli Parlimen Padang Terap, Nurul Amin Hamid berkata, berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pengeluaran getah asli Malaysia susut 11.8 peratus kepada 28,048 tan pada November 2022 daripada 31,795 tan yang direkodkan bagi Oktober 2022.

Menurutnya, situasi ini memberikan kesan ekonomi yang negatif kepada pekebun kecil dan penoreh getah seluruh negara jika kerajaan pada hari ini tidak mengambil langkah drastik untuk memulihkan keadaan.

"Tuntutan pelbagai pihak agar kerajaan mengambil langkah secepat mungkin untuk menetapkan harga lantai getah sekerap kepada lebih RM3 sekilogram untuk membantu lebih 500,000 pekebun kecil seluruh negara sehingga kini masih dipandang sepi.

"Sehingga hari ini belum ada sebarang langkah pemulihan untuk merancakkan sektor komoditi getah negara oleh kerajaan selain daripada meneruskan Bantuan Musim Tengkujuh yang diumumkan oleh kerajaan lama sebelum pilihan raya umum," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Pas Kedah berkata, antara sebab utama pengeluaran getah negara merosot adalah kerana penyebaran penyakit daun terhadap pokok getah.

Tambahnya, keadaan cuaca yang tidak menentu, peningkatan suhu iklim dan input baja yang rendah disebabkan oleh kos yang tinggi juga menyaksikan pengeluaran getah turut berkurang.

"Selain itu, situasi ini berlaku juga adalah disebabkan oleh keengganan pekebun kecil dan penoreh untuk meneruskan aktiviti penorehan kerana harga getah asli yang rendah," katanya.

Artikel Berkaitan: