PRN Selangor: PBM mahu kerjasama dengan PH

Larry satu-satunya calon PBM yang berjaya memenangi kerusi pada PRU15. - Foto Bernama
Larry satu-satunya calon PBM yang berjaya memenangi kerusi pada PRU15. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Bangsa Malaysia (PBM) secara terbuka menyatakan hasratnya untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor pada tahun ini.

Presidennya, Datuk Larry Sng berkata, beliau telah menulis surat kepada pemimpin PH dan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari untuk menunjukkan minat tersebut.

“PBM kini mempunyai dua kerusi Dewan Undang Negeri (DUN) Sementa (Haniza Talha) dan Lembah Jaya (Dr Daroyah Alwi).

“Saya berharap hubungan kerja baik PBM dengan rakan parti komponen di peringkat Persekutuan dapat diperluaskan ke peringkat Negeri. Ini bagi memastikan kestabilan negara bergerak ke hadapan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

PBM yang memenangi satu kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) melalui Larry di Parlimen Julau merupakan antara parti menyokong pembentukan kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam pada itu, untuk rekod meskipun Haniza dan Dr Daroyah masing dipecat daripada jawatan sebagai Timbalan Presiden 1 dan Ketua Wanita PBM ekoran krisis dalaman parti, kedua-duanya masih dikekalkan sebagai ahli parti biasa.

Pergolakan yang berlaku baru-baru ini menyaksikan PBM memecat 13 individu termasuk Bekas Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin dan Setiausaha Agung Parti Bangsa Malaysia (PBM), Nor Hizwan Ahmad.

Pimpinan PBM sebelum terdiri daripada kumpulan yang keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas daripada peristiwa ‘Langkah Sheraton’ pada awal tahun 2020yang menyebabkan kerajaan PH di bawah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tumbang.

Artikel Berkaitan: