Perdaya peniaga RM300,000, pasangan kekasih ditahan

Antara rampasan kad dan telefon bimbit susulan penahanan sepasang kekasih di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, pada Rabu.
Antara rampasan kad dan telefon bimbit susulan penahanan sepasang kekasih di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, pada Rabu.
A
A
A

PETALING JAYA - Sepasang kekasih dicekup di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur pada Rabu selepas dipercayai terlibat memperdaya seorang peniaga hingga kerugian RM300,000 yang kononnya dilabur dalam pelaburan visa pelancong dan pekerja asing.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Fakhrudin Abdul Hamid berkata, suspek lelaki tempatan dan wanita warga asing itu ditahan dalam serbuan di dua unit kondominium.

Menurutnya, serbuan itu membawa rampasan tiga unit telefon bimbit pelbagai jenama, lima kad ATM dan masing-masing satu pasport dan kad nama.

"Siasatan mendapati pasangan berusia 33 dan 43 tahun itu aktif melakukan jenayah penipuan sejak April tahun lepas.

"Suspek lelaki itu kini ditahan reman tiga hari sehingga Sabtu manakala wanita yang juga pendatang asing tanpa izin (PATI) itu direman selama 14 hari," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Polis sebelum itu menerima laporan daripada mangsa berusia 33 tahun pada Julai lalu.

Menurut Mohd Fakhrudin, mangsa yang berniaga dalam sektor pertanian itu mengenali lelaki terbabit melalui ahli keluarganya sebelum terperdaya dengan tawaran keuntungan RM6,000 bagi setiap visa yang dilaburkan.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, mangsa telah menyerahkan wang RM300,000 untuk 50 permohonan visa pekerja asing kepada suspek dan satu pasport bagi permohonan visa pekerja.