Kedai runcit jual rokok seludup diserbu polis

Sebanyak 165 karton rokok seludup dirampas dalam dua serbuan berasingan di sekitar Ampang. - Foto PDRM
Sebanyak 165 karton rokok seludup dirampas dalam dua serbuan berasingan di sekitar Ampang. - Foto PDRM
A
A
A

AMPANG - Polis merampas sebanyak 165 karton rokok seludup dalam serbuan berasingan ke atas dua kedai runcit di sekitar Taman Dato’ Ahmad Razali, di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, serbuan itu dijalankan selama satu jam bermula jam 5 petang hasil risikan anggota dari Balai Polis Ampang.

"Dalam serbuan di dua lokasi berbeza, polis telah menangkap dua lelaki Indonesia yang bekerja sebagai pembantu kedai.

"Salah seorang suspek berusia 25 tahun tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah manakala suspek berusia 24 tahun memiliki pasport namun didapati tinggal lebih masa," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Katanya, nilai keseluruhan rampasan rokok berkenaan dianggarkan RM10,500.

Antara rokok seludup yang berjaya dirampas dalam serbuan berkenaan. Foto PDRM
Antara rokok seludup yang berjaya dirampas dalam serbuan berkenaan. Foto PDRM

Katanya, ujian saringan air kencing kedua-dua suspek didapati negatif penggunaan dadah dan kesemua suspek direman empat hari bermula Jumaat.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang rampasan atau RM100,000 (mana lebih besar), atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun.

Artikel Berkaitan:

"Polis memberikan amaran kepada orang ramai supaya tidak terlibat dalam sebarang aktiviti mengedar, menjual, menyimpan atau menyeludup apa-apa barang yang tidak bercukai khususnya rokok, minuman keras, mercun dan dadah," ujar beliau.