MGB Berhad, SANY Alameriah meterai MoU bangunkan hartanah di Arab Saudi

MGB Berhad diwakili Tan Sri Lim Hock San (lima dari kiri) manakala SANY Alameriah For Construction Co. Ltd. (SA) diwakili Datuk Bandar Mohammad Al Amre (empat dari kanan) diiringi pengurusan kanan dan wakil daripada SANY pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Ibu Pejabat LBS, di Plaza Seri Setia, di sini, hari ini.
MGB Berhad diwakili Tan Sri Lim Hock San (lima dari kiri) manakala SANY Alameriah For Construction Co. Ltd. (SA) diwakili Datuk Bandar Mohammad Al Amre (empat dari kanan) diiringi pengurusan kanan dan wakil daripada SANY pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Ibu Pejabat LBS, di Plaza Seri Setia, di sini, hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Syarikat pemaju perumahan, MGB Berhad (MGB) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan SANY Alameriah For Construction Co. Ltd. (SA) bagi projek pembangunan hartanah di Arab Saudi.

Menerusi perjanjian tersebut, SA melantik MGB iaitu anak syarikat LBS Bina Group Berhad bagi melaksanakan kerja-kerja reka bentuk dan membina 10,000 unit hartanah dengan anggaran nilai projek SAR 2.5 bilion bersamaan RM2.9 bilion.

Projek dibawah Program Kerajaan Sakani (Pembinaan Unit) kerajaan Arab Saudi itu dijangka siap dalam tempoh lima tahun.

Selain itu, SA turut berhasrat untuk bekerjasama dengan MGB bagi mengendalikan kilang konkrit pratuang yang terletak di Jeddah dan dijangka akan membekalkan sejumlah 1,000,000m3 produk konkrit pratuang bagi Pembinaan Unit selama lima tahun.

Majlis menandatangani MoU itu telah disempurnakan Naib Pengerusi Eksekutif MGB, Tan Sri Lim Hock San dan Pengerusi Lembaga Pengarah SA, Datuk Bandar Mohammad Al Amre disaksikan Pengarah Urusan MGB, Datuk Wira Joey Lim Hock Guan, Ketua Pegawai Eksekutif MGB, Datuk Richard Lim dan Ahli Lembaga SA, Tarek Amri di Ibu Pejabat LBS di Plaza Seri Setia, di sini, hari ini.

Naib Pengerusi Eksekutif MGB, Tan Sri Lim Hock San, berkata, industri pembinaan mula beralih kepada Sistem Binaan Berindustri (IBS) sebagai kaedah baharu yang dilihat berpotensi untuk meningkatkan prestasi pembinaan, kualiti serta produktiviti secara menyeluruh sekaligus dapat meningkatkan kecekapan dalam sektor pembinaan.

“Kami sangat optimis ke arah kemajuan yang lebih pesat, didorong oleh penggunaan Sistem IBS. Kerjasama yang terjalin ini akan menjadi titik tolak untuk kami menerokai pasaran di Timur Tengah.

LIM HOCK SAN
LIM HOCK SAN

Artikel Berkaitan:

“MGB turut bersedia untuk menyumbang kepakaran di dalam industri pembinaan di Timur Tengah dan kami amat berbesar hati kerana sistem IBS kami digunakan untuk tujuan pembinaan tersebut,”katanya.

Menurutnya, Sistem IBS pada masa hadapan lebih mesra alam, selaras dengan agenda pembinaan hijau seperti yang digariskan dalam Pelan Transformasi Industri Pembinaan (2021-2025) sebagai agenda nasional untuk memacu sektor pembinaan hijau dan penjimatan kos.

“Kami telah mengenal pasti sistem IBS sebagai penyelesaian yang berpotensi untuk meningkatkan prestasi pembinaan dan kami berharap dapat meluaskan pengetahuan dan kepakaran kami dalam bidang ini.

“MGB akan terus konsisten untuk menerima kontrak-kontrak lain di samping meningkatkan tempahan pembinaan yang lebih kukuh dan menerokai pasaran yang berbeza,”katanya.

SA merupakan syarikat usahasama dibawah kerajaan Arab Saudi melibatkan syarikat SANY, iaitu pengeluar peralatan berat kedua terbesar di dunia dan syarikat Alameriah, iaitu pemaju terkemuka di Arab Saudi khususnya dalam aktiviti-aktiviti pembinaan, pembangunan hartanah, infrastruktur, reka bentuk dan binaan, serta pembuatan produk konkrit pratuang.