Mahkamah benarkan permohonan dapatkan perincian dengan Jho Low

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan untuk mengarahkan pegawai penyiasat mengemukakan bukti yang memperincikan perbualan antara pengurus bank dan ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low.

Pasukan pembelaan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang kini dibicarakan, telah memohon agar pegawai itu, Ahmad Farhan Sharifuddin, mengemukakan dokumen-dokumen berkaitan komunikasi antara pengurus perhubungan Ambank Joanna Yu Ging Ping dan Jho Low.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memutuskan perkara-perkara yang berkaitan itu adalah relevan kepada pasukan pembelaan dan saksi berkenaan, Ahmad Farhan, hendaklah mengemukakan dokumen-dokumen itu.

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu pertuduhan menyalahgunakan jawatan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Dalam keterangannya, Ahmad Farhan berkata beliau memperoleh bukti itu daripada Joanna Yu apabila beliau pergi ke Ambank Jalan Raja Chulan pada 6 Julai 2015, semasa serbuan dilakukan oleh tiga pasukan dari Bank Negara Malaysia (BNM). Ahmad Farhan telah mengarahkan serbuan itu dilakukan.- Bernama
Artikel Berkaitan: