Amalan sogok wang pada PRU rugikan rakyat, negara

Amalan sogokan wang atau rasuah bagi meraih undi pada PRU akan merugikan rakyat. - Gambar kecil Nor Halmey
Amalan sogokan wang atau rasuah bagi meraih undi pada PRU akan merugikan rakyat. - Gambar kecil Nor Halmey
A
A
A

SHAH ALAM - Amalan sogokan wang atau rasuah bagi meraih undi pada pilihan raya umum (PRU) akan merugikan rakyat kerana hilang barisan kepimpinan sebenar yang boleh menerajui negeri atau negara.

Ketua Pasukan Rasuah Busters Perlis, Nor Halmey Hamdah berkata, jika ada dakwaan berlakunya perkara tersebut, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu segera menyiasat dan mengambil tindakan mengikut undang-undang.

Dalam masa sama, beliau turut mengharapkan SPR memperjelaskan secara terperinci kepada rakyat berhubung perkara yang diklasifikasikan sebagai rasuah dalam PRU.

"Mungkin sekarang rakyat masih belum jelas pemberian wang ketika PRU itu adalah satu kesalahan dan menganggap sebagai duit minyak. Mereka juga terkeliru dengan upah kerja atau rasuah.

"Sebenarnya dalam pilihan raya ini ada upah kerja seperti memasang khemah dan bendera tetapi kalau tiba-tiba ada orang datang rumah bagi duit, suruh pangkah parti itu orang ini, ia adalah rasuah," jelasnya pada Jumaat.

Sinar Harian melaporkan SPR digesa segera mengambil tindakan terhadap semua petisyen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mengenai salah laku sogokan wang termasuk berkaitan rakaman video tular yang membuktikan amalan merasuah pengundi dengan menggunakan nama ALLAH.

Gesaan itu disuarakan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ketika menyampaikan ucapan dasar pada Pehimpunan Agung Pemuda UMNO 2022 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Nor Halmey bagaimanapun memberitahu tidak pasti kesahihan video tersebut tetapi jika dakwaan itu benar, beliau tidak menolak kemungkinan tiada lagi pihak berani berbuat demikian pada PRU akan datang.

Artikel Berkaitan:

"Ini kerana, sememangnya rakyat sudah tahu benda ini salah dan dijadikan pengajaran terutamanya apabila mereka yang terlibat diambil tindakan.

"Ia akan mendidik masyarakat apa yang betul dan tidak betul pada pilihan raya berlangsung pada masa akan datang," jelasnya.