Masjid bakal dibina di Bandar Cassia

Kon Yeow (enam dari kiri) menunjukkan pelan pembinaan Pasar Awam dan Penjaja Bandar Cassia di tapak pembinaan pada Jumaat.
Kon Yeow (enam dari kiri) menunjukkan pelan pembinaan Pasar Awam dan Penjaja Bandar Cassia di tapak pembinaan pada Jumaat.
A
A
A

BATU KAWAN - Sebuah masjid bandaraya akan dibina di Bandar Cassia untuk kegunaan umat Islam di sini berikutan surau sedia ada tidak dapat menampung jumlah jemaah yang semakin meningkat.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, setakat ini, fasa pertama projek pembinaan masjid tersebut sudah dilaksanakan iaitu penyediaan tapak.

Menurutnya, pembinaan masjid berkenaan merupakan salah satu projek yang terkandung dalam pelan induk bandar baru di Bandar Cassia dan Batu Kawan.

"Fasa pertama iaitu penyediaan tanah untuk tapak masjid sudah dibuat yang mana, kerajaan negeri telah memutuskan untuk memulakan pelaksanaannya fasa pertama sementara menunggu pelaksanaan fasa-fasa seterusnya apabila kita mendapat peruntukkan daripada kerajaan pusat.

"Maklumat lanjut akan diumumkan sebaik saja projek ini bermula dan saya percaya ini juga satu berita baik untuk umat Islam di Bandar Cassia dan Batu Kawan.

"Ini kerana, beberapa buah surau di sini tidak mampu lagi menampung jumlah jemaah yang semakin bertambah," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek Pembinaan Pasar Awam dan Penjaja Bandar Cassia di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan berkata, pembinaan pasar awam dan penjaja yang pertama Bandar Cassia akan menangani masalah penjaja yang tidak teratur berikutan bilangannya semakin bertambah.

Menurutnya, projek tersebut adalah salah satu syarat oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) untuk perakuan siap dan pematuhan (CCC) bagi pembangunan Pangsapuri Suria 1 Batu Kawan.

"Kerajaan negeri yakin dengan siapnya projek pembangunan infrastruktur ini kelak, ia dapat memberi nilai tambah di kawasan ini, sekali gus membolehkan rakyat dapat menjana peluang pendapatan dan menikmati kehidupan lebih baik.

Artikel Berkaitan:

"Dengan pembinaan pasar awam dan penjaja ini di atas tanah seluas 3.1 hektar ini, ia menjadikan jumlah keseluruhan pasar awam di Pulau Pinang adalah 60 buah. Pembinaan projek ini terbahagi kepada dua fasa iaitu fasa pertama yang bermula pada 7 November tahun lalu dan dijangka siap pada 6 Januari 2024.

"Fasa itu melibatkan kerja tanah dan rawatan tanah manakala kedua adalah pembinaan bangunan serta infrastruktur yang dijangka akan bermula pada suku pertama tahun depan dan siap sepenuhnya pada suku ketiga tahun 2025," katanya.

Projek Pasar Awam dan Pejaja Bandar Cassia menelan kos pembinaan sebanyak RM68.7 juta yang dibina berdekatan beberapa kawasan perumahan dan terletak tiga kilometer (km) dari Jeti Batu Musang.

Projek pembangunan itu merangkumi beberapa komponen utama antaranya sebuah pasar awam yang mempunyai 82 lot penjaja, sebuah kompleks makanan yang boleh menempatkan 32 unit gerai, 20 unit gerai tertutup, 78 petak ruang penjaja terbuka, 753 pakir kenderaan dan lain-lain kemudahan.