Messi pilihan utama Pemain Lelaki Terbaik FIFA

Messi
Messi
A
A
A

LIONEL Messi dan Kylian Mbappe tersenarai antara calon utama untuk anugerah Pemain Lelaki Terbaik FIFA selepas pencapaian cemerlang mereka dalam saingan Piala Dunia Qatar 2022.

Majlis anugerah FIFA itu akan berlangsung pada 27 Februari dan mengiktiraf pencapaian tertinggi sukan itu dari 2022 merentas beberapa kategori, dengan anugerah Pemain Lelaki Terbaik FIFA menjadi tarikan utama.

Messi yang memenangi kategori tersebut pada 2019 menjadi antara pilihan utama untuk sekali lagi memenangi anugerah tersebut selepas memberi inspirasi kepada Argentina menjulang Piala Dunia.

Ia merupakan gelaran pertama Albiceleste sejak 1986 dengan Messi memainkan peranan penting dalam kemenangan itu ketika Argentina menewaskan Perancis menerusi sepakan penalti selepas seri 3-3 dalam perlawanan akhir.

Messi menjaringkan lima gol dan mencipta tiga bantuan gol untuk memenangi Bola Emas.

Manakala, rakan sepasukannya di Paris Saint-Germain, Kylian Mbappe pula memenangi Kasut Emas hasil hatriknya menentang Argentina dalam perlawanan akhir dan menjadi saingan utama Messi untuk anugerah Pemain Lelaki Terbaik FIFA.

Karim Benzema, yang memenangi Ballon d'Or tahun lalu selepas aksi cemerlangnya bersama Real Madrid, turut dicalonkan termasuk penyerang Barcelona, Robert Lewandowski.

Selain itu, pemain Manchester City Julian Alvarez, Kevin De Bruyne dan Erling Haaland; wakil Real Madrid, Luka Modric dan Vinicius Junior selain Mohamed Salah, Sadio Mane serta Jude Bellingham.

Artikel Berkaitan:

Pengendali Madrid, Carlo Ancelotti bersaing dalam kategori Jurulatih Lelaki Terbaik FIFA dengan Lionel Scaloni dari Argentina mungkin akan menjadi pilihan dalam senarai pendek lima pengendali itu.

Argentina turut mempunyai wakil dalam kategori Penjaga Gol Lelaki Terbaik FIFA menerusi Emiliano Martinez.

Untuk kategori wanita, juara Euro 2022 England mempunyai beberapa pencalonan dengan Beth Mead, Keira Walsh dan Leah Williamson semuanya bersaing untuk anugerah pemain terbaik.

Sarina Wiegman pula akan menjadi antara pilihan untuk anugerah jurulatih dan Mary Earps bersaing untuk dinamakan sebagai Penjaga Gol Wanita FIFA Terbaik.

Undian oleh peminat dibuka sehingga 3 Februari bagi menentukan tiga finalis bagi setiap kategori.

Pemenang kemudian akan ditentukan oleh juri yang terdiri daripada pengendali dan kapten skuad kebangsaan, wartawan serta peminat bola sepak.