TH pajak bangunan, kekalkan harga sewaan

Gambar kecil: Syed Saleh
Gambar kecil: Syed Saleh
A
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Tabung Haji (TH) telah memajak bangunan penginapan jemaah haji di Makkah dan Madinah untuk beberapa musim dalam usaha mengekalkan harga sewaan bagi menangani impak kenaikan kos haji.

Pengarah Eksekutif TH, Datuk Seri Syed Saleh Abdul Rahman berkata, institusi itu juga mengambil langkah ke depan dengan memeterai perjanjian jangka panjang dengan syarikat-syarikat penerbangan susulan kenaikan kos.

Katanya, seperti yang semua maklum, kos haji adalah semua kos langsung untuk menunaikan haji merangkumi tiket penerbangan, pengangkutan di Tanah Suci, sewaan bilik penginapan di Makkah dan Madinah, sajian makanan dan bayaran untuk pelbagai perkhidmatan asas kepada pihak-pihak berwajib di Arab Saudi.

“Kesemua elemen ini telah meningkat dari setahun ke setahun termasuk harga sewaan hotel-hotel di Makkah dan Madinah.

“Antara faktor-faktor utama yang menyebabkan kenaikan kos haji adalah disebabkan inflasi berikutan impak ekonomi global seperti perang Russia-Ukraine, kenaikan harga minyak, isu logistik pasca Covid-19, percukaian, kadar pertukaran wang serta pasaran hartanah di Makkah dan Madinah.

“Kenaikan ini juga disebabkan oleh caj tambahan yang melibatkan kemudahan sedia ada dan baharu yang diberikan termasuk fasiliti kemudahan khemah di Arafah dan Mina, mutawif, sajian makanan serta penggunaan bas yang lebih baik di Arab Saudi,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata demikian sebagai respons berhubung isu peningkatan kos haji dan langkah yang diambil oleh TH.

Tambah Syed Saleh, kos haji pada tahun ini dijangka meningkat kepada lebih RM31,000 didorong oleh kenaikan caj untuk perkhidmatan-perkhidmatan yang diberi oleh kerajaan Arab Saudi demi keselesaan dan kebajikan para jemaah haji.

Artikel Berkaitan:

“Kita perlu menerima realiti kenaikan kos menunaikan haji akan berlaku setiap tahun. Namun, TH akan sentiasa berusaha melalui perbelanjaan yang berhemah dan strategik agar kenaikan ini tidak terlalu membebankan jemaah haji.

“TH juga akan meneruskan Bantuan Kewangan Haji untuk golongan berpendapatan rendah melalui bayaran haji secara bersasar yang diperkenalkan pada musim haji yang lalu serta terus sediakan subsidi kepada jemaah,” jelasnya.