KKR peruntuk RM196 juta baiki kerosakan akibat banjir di Pantai Timur

Alexander (empat dari kanan) melihat infrastruktur yang disediakan di Hospital Pendang.
Alexander (empat dari kanan) melihat infrastruktur yang disediakan di Hospital Pendang.
A
A
A

PENDANG - Kementerian Kerja Raya (KKR) memperuntukkan kira-kira RM196 juta untuk membaiki kerosakan akibat bencana banjir yang berlaku pada hujung tahun lalu di negeri Pantai Timur.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kos terbabit termasuk membiayai penyelenggaraan cerun iaitu kerosakan paling teruk dan perbelanjaan tertinggi.

Katanya, peruntukan berkenaan juga termasuk kerja-kerja pembaikan jalan, bukan jalan, elektrik dan lain-lain.

"Kalau di seluruh Semenanjung pula, kos diperlukan bagi kerja-kerja pembaikan akibat banjir adalah RM232 juta," katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Projek Hospital Pendang kepada Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa di sini pada Khamis.

Berangkat sama, Tunku Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin.

Alexander berkata, lawatannya ke kawasan terjejas banjir di Kelantan dan Terengganu mendapati banyak permukaan jalan yang pecah dan rosak teruk.

"Kerja-kerja pembaikan sedang dijalankan dan kini sudah 20 peratus siap.

"Bagi pembaikan cerun pula ia mengambil masa sedikit kerana bergantung kepada kerosakan selain turut melibatkan banyak kerja-kerja teknikal," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, ketika ditanya tentang isu Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di tol, Alexander berkata perkara tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat khas antara Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Plus Malaysia Berhad (PLUS) yang akan diadakan pada esok (Jumaat).