Pelbagai kemungkinan sebelum penamaan calon

AHMAD SAMSURI
AHMAD SAMSURI
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pelbagai kemungkinan boleh berlaku selagi belum penamaan calon, kata Ketua Pengarah Pilihanraya Pas Pusat, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau memberikan reaksi berkenaan sebaik ditanya mengenai keputusan Pas untuk tidak meletakkan calon dalam PRK Parlimen Sandakan yang dijadualkan 11 Mei depan.

Katanya, ia adalah keputusan parti, namun, apa pun boleh berlaku selagi tidak melalui proses penamaan calon.

"Itu adalah dasar parti, tetapi, selagi tidak penamaan calon, apa pun boleh berlaku ibarat macam 'puzzle'.

"Rakyat masih boleh berteka-teki," katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Hafl El Takrim Pelajar Cemerlang SPM, STAM dan STPM 2018 Sekolah-Sekolah Menengah Agama Terengganu, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, Pas akan menggerakkan jentera pilihan raya bagi membantu kempen calon pembangkang pada PRK itu nanti.

"Kita mempunyai jentera tempatan di Sandakan dan di Sabah. Sudah tentu rakan-rakan kita yang lain seperti di Sarawak akan turut membantu.

"Jentera dari semenanjung juga akan dihantar mengikut keperluan, bukan 'full force' mengikut tugasan tertentu walaupun mungkin jumlahnya tidak begitu ramai," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Samsuri dalam nada berseloroh turut mengakui pilihan raya sebagai satu 'latihan'.

"Pilihan raya adalah satu 'exercise', ia jadi satu 'aktiviti' yang menyihatkan, macam yang kita lakukan setiap hari," katanya.

Terdahulu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan mengumumkan bahawa Pas tidak meletakkan calon parti itu dalam PRK Parlimen Sandakan.

Katanya, Pas akan memberikan sokongan kepada wakil pembangkang yang akan meletakkan calon mereka bagi menentang wakil daripada PH.