Zairil dakwa Gerakan indah khabar dari rupa

Dari kiri: Zairil, Dominic
Dari kiri: Zairil, Dominic
A
A
A

GEORGETOWN - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) didakwa rela bersekongkol dengan wadah politik perkauman ekstremis yang dibawa oleh Perikatan Nasional (PN) ketika siri kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.

Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, Gerakan juga sebelum ini kononnya mengamalkan kepentingan perpaduan dalam politik juga disifatkan sebagai indah khabar dari rupa.

Ini kerana, menurut Zairil, Gerakan dilihat tidak berani membantah ketika pemimpin-pemimpin PN daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas mengeluarkan kenyataan fitnah yang jelas berbaur perkauman dan bertujuan untuk memecah-belahkan rakyat.

"Ketika Gerakan ingin menyertai PN yang ketika itu berada di tampuk kuasa Kerajaan Persekutuan, presiden mereka mengatakan bahawa parti itu percaya pentingnya perpaduan dalam politik dan sebagai sebuah negara yang berbilang kaum, bahasa dan wilayah, Gerakan teguh dengan perpaduan dalam politik, amat penting dalam menjana persefahaman memacu obor kegemilangan negara ke hadapan.

"Bagaimanapun, kenyataan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai didapati bertentangan apabila Gerakan dilihat rela bersekongkol dengan wadah politik perkauman ekstremis yang dibawa oleh PN semasa kempen PRU15 lalu.

"Kita tidak nampak Gerakan membantah apabila pemimpin-pemimpin PN daripada Bersatu dan Pas mengeluarkan kenyataan berbentuk fitnah, berbaur perkauman dan bertujuan untuk memecah-belahkan rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Kata Zairil lagi, selain Dominic, Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong juga pernah mengeluarkan kenyataan kononnya parti itu tidak teragak-agak untuk meninggalkan PN jika hak dan kepentingan bukan Islam tergugat.

"Sekali lagi Gerakan membuktikan mereka hanya tin kosong apabila rakyat Pulau Pinang dikejutkan dengan sebuah video di aplikasi TikTok oleh seorang Ahli Parlimen Permatang Pauh (Pas) yang membantah promosi penjualan arak sempena perayaan Tahun Baru Cina di sebuah pusat membeli-belah di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

"Adakah Gerakan akan bertindak berdasarkan prinsip yang diuar-uarkan sendiri atau adakah mereka akan terus berdiam, menyokong tindakan rakan gabungan mereka itu? Sekiranya Gerakan tidak bertindak seperti yang dijanjikan, maka terbuktilah bahawa mereka ini langsung tidak relevan dalam landskap politik Malaysia," katanya.

Sementara itu, Dominic dalam satu sidang media menyangkal kenyataan Zairil dengan berkata, PN tetap dengan slogan yang dilaungkan sebelum dan selepas PRU15 iaitu bersih, stabil dan tidak rasuah.

Menurutnya, DAP sepatutnya cermin diri sendiri apabila Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini mengutuk BN dan UMNO kini berada di bawah satu bumbung.

"Sebelum nak tunding jari kepada PN, lebih baik DAP kutuk diri sendiri dahulu. Siapa yang indah khabar dari rupa? Mereka dahulu kutuk BN, UMNO rasuah, tidak berintegriti, tetapi kini mereka bergabung pula.

"Jadi siapa yang lebih teruk sebenarnya? Jika Zairil lihat semula video-video kempen PN sebelum PRU15, kami tetap dengan pendirian dan slogan yang kami laungkan iaitu bersih, stabil dan tidak rasuah. Zairil sebenarnya tidak faham prinsip sebenar PN," katanya.