LBS raih jualan RM2 bilion pada 2022

Hock San (tengah) bersama beberapa ahli pengurusan LBS semasa Taklimat Media LBS 2023 pada Selasa.
Hock San (tengah) bersama beberapa ahli pengurusan LBS semasa Taklimat Media LBS 2023 pada Selasa.
A
A
A

SYARIKAT pemaju perumahan, LBS Bina Group Berhad (LBS) mencatatkan jualan tahunan sebanyak RM2.003 bilion sekali gus melepasi 25 peratus sasaran jualan kewangan 2022 iaitu sebanyak RM1.6 bilion.

Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San berkata, beliau teruja menamatkan tahun 2022 dengan bergaya apabila melepasi sasaran jualan hartanah sebanyak 25 peratus.

“Ia adalah pencapaian luar biasa dan petunjuk bahawa projek pembangunan kami terletak di lokasi strategik pada julat harga berpatutan dengan memenuhi keperluan orang ramai.

“Selain itu, kami berjaya menyerahkan milikan kosong sebanyak 2,957 unit bernilai RM1.27 bilion di sebalik cabaran getir pada tahun 2022 dan bergelut dengan ketidaktentuan iklim ekonomi serantau, krisis rantaian bekalan serta kerapuhan geopolitik,” katanya ketika berucap semasa Taklimat Media LBS 2023 pada Selasa.

Dalam pada itu, Hock San berkata, pihaknya berusaha untuk mengekalkan prestasi cemerlang pada tahun lepas dengan meningkatkan sasaran jualan hartanah kepada RM2 bilion pada tahun ini.

Hock San turut mengumumkan perancangan 2023 dengan bakal melancarkan sebanyak 12 projek baharu melibatkan kawasan Lembah Klang, Johor, Pahang dan Perak dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM2.09 bilion menerusi 4,021 unit rumah.

Menurutnya, LBS akan memberi tumpuan kepada pelancaran sebanyak 2,118 unit rumah dengan nilai GDV berjumlah RM1.1 bilion di Lembah Klang, yang mana ia secara konsisten berupaya menyumbang jualan tertinggi sepanjang tahun terutama di pembangunan perbandaran utama LBS, KITA@Cybersouth.

Artikel Berkaitan:

Hock San ketika berucap semasa Taklimat Media LBS 2023 pada Selasa.
Hock San ketika berucap semasa Taklimat Media LBS 2023 pada Selasa.

Beliau berkata, pihaknya merancang untuk melancarkan rumah bersambung satu tingkat, rumah bersambung dua tingkat dan rumah bandar di KITA Bestari melibatkan sejumlah 817 unit dengan nilai GDV sebanyak RM418 juta.

“Pelancaran lain yang dirancang termasuk 155 unit rumah teres dua tingkat Astella di D'Island Residence di Puchong dengan nilai GDV sebanyak RM139 juta dan Blok B, di LBS Prestige Residence, Seri Kembangan yang akan terdiri daripada 725 unit dengan nilai GDV sebanyak RM313 juta,” ujarnya.

Tambah Hock San, projek baharu di Pahang termasuk pangsapuri perkhidmatan Bayu Hills di Genting Highlands melibatkan 642 unit dengan jumlah GDV RM482 juta.

“Ketidaktentuan ekonomi dan pasaran menjelang tahun 2023 masih sebahagian daripada cabaran utama,” katanya.

Justeru, beliau berkata, LBS telah merangka perancangan strategik bagi mengekalkan prestasi dan meningkatkan lagi sasaran jualan hartanah kepada RM2 bilion.

“Sebagai pemaju rakyat, kami menyasar untuk melancarkan hartanah dengan nilai GDV sebanyak RM2.09 bilion di beberapa buah negeri.

“LBS komited untuk memastikan hartanah kami terus kekal relevan dan mampu dimiliki oleh bakal pembeli rumah,” jelasnya.

Beliau berkata, LBS turut berhasrat memberi ganjaran pemegang saham dengan dividen sebanyak 30 peratus.