Motivasi Malaysian Tigers pada tahap terbaik

Arul Selvaraj
Arul Selvaraj
A
A
A

SKUAD Malaysian Tigers tidak berdepan masalah dalam menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca dan persekitaran di India menjelang kempen Piala Dunia 2023 di Bhubaneswar-Rourkela, India.

Malah menurut Arul Selvaraj, para pemain negara sudah bersemangat memulakan kempen dengan keputusan positif di bumi India apabila berdepan Sepanyol dalam perlawanan persahabatan pada Rabu.

“Ya, saya gembira apabila para pemain tidak berdepan masalah untuk menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca dan persekitaran di sini.

“Malah setiap pemain berada dalam motivasi cukup baik apabila masing-masing begitu teruja untuk diturunkan pada perlawanan pertama berdepan Belanda.

“Namun apa yang penting seperti yang saya jelaskan sebelum ini bahawa pasukan akan mengambil satu perlawanan ke satu perlawanan dalam kejohanan ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Malaysian Tigers akan berdepan Sepanyol pada Rabu dalam perlawanan pemanas badan terakhir sebelum menyingkap tirai kempen Piala Dunia 2023.

Malaysia akan memulakan Kumpulan C menentang Belanda di Stadium Hoki Birsa Munda, Rourkela pada 14 Januari ini sebelum menentang Chile di Stadium Hoki Birsa Munda, Rourkela (16 Januari) diikuti New Zealand di Stadium Hoki Kalinga, Bhubaneswar pada 19 Januari.

Mengulas lanjut perlawanan berdepan Sepanyol, Arul berkata, aksi itu akan dimanfaatkan sepenuhnya kesiapsediaan taktikal pasukan negara.

Artikel Berkaitan:

“Persiapan berdepan Sepanyol lebih kepada persediaan taktikal pasukan termasuk tanggungjawab yang diberikan kepada para pemain dalam perlawanan tersebut.

“Sejujurnya perlawanan ini penting bagi melihat secara keseluruhan taktikal yang akan diterjemahkan apabila berdepan Belanda nanti,” katanya.