Axelsen lulus ujian sulung Terbuka Malaysia 2023

Axelsen ketika beraksi di pusingan pertama Terbuka Malaysia 2023 di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Selasa. - Foto Bernama
Axelsen ketika beraksi di pusingan pertama Terbuka Malaysia 2023 di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

JUARA dunia, Viktor Axelsen berjaya melepasi pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2023 takkala dia cepat menyesuaikan diri dalam aksi pembukaan menentang rakan senegara dari Denmark, Rasmus Gemke di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Selasa.

Namun, dalam usaha mempertahankan kejuaraan kali, Axelsen tewas set pertama 17-21 sebelum mengekalkan rekod bersih lima pertemuan dengan Gemke, pemain nombor 21 dunia, dengan kemenangan 21-14 dan 21-12 dalam pertemuan lebih sejam itu.

Axelsen selaku pemain nombor satu dunia, dijadualkan menentang pemain profesional negara, Liew Daren, yang membayangkan kemungkinan menarik diri pada pusingan kedua, Khamis ini.

"Perlawanan pertama sentiasa sukar, terutamanya di gelanggang di Axiata Arena agak sukar dengan tiupan angin yang kuat. Banyak perkara yang perlu diambil kira, namun saya sangat gembira kerana berjaya menang," kata Axelsen kepada pemberita selepas perlawanan.

Pemain berusia 29 tahun itu juga yakin prestasinya akan kekal utuh, walaupun dia mungkin menerima kemenangan percuma pada pusingan kedua.

Daren, 36, selepas kemenangan pusingan pertamanya 21-15, 14-21, 21-17 menentang Toma Junior Popov dari Perancis, berkata, dia mungkin menarik diri daripada kejohanan itu kerana kecederaan betis kanannya yang dialami sejak bulan lalu.

"Saya mendoakan yang terbaik untuk Daren, dia seorang pemain yang hebat. Saya harap dia boleh bermain, namun ia di luar kawalan saya. Saya akan meneruskan latihan dan persiapan esok, mungkin ada masa untuk berjalan-jalan," kata Axelsen. - Bernama

Artikel Berkaitan: