Kumaahran tekad perbaiki sentuhan penyudah

KUMAAHRAN
KUMAAHRAN
A
A
A

PEMAIN baharu Sabah FC, S Kumaahran mahu memperbaiki kelemahan daripada aspek penyudah untuk tidak lagi mengulangi kesilapan sama pada musim lalu.

Dia mengakui masih belum berpuas hati dengan pencapaian yang diraih ketika bersama PJ City FC musim lalu apabila hanya mampu meledak tiga gol di pentas Liga Super daripada 25 penampilan.

Justeru, kehadirannya ke Sabah FC adalah untuk terus membuktikan ketajaman meskipun dia sedar saingan sukar menembusi kesebelasan utama The Rhinos.

“Saya mahu melakukan penyudah yang lebih baik dan kena memastikan serangan yang lebih tajam sebab saya sedar musim lepas agak kurang menjadi.

“Saya tidak mahu sekadar bercakap sahaja mengenai misi dan sasaran sebab yang penting saya kena buktikan dahulu kemampuan dalam perlawanan,” katanya.

Kumaahran turut menjelaskan antara sebab penghijrahannya ke Sabah FC adalah kerana selesa dengan 'watak' yang dibawa ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee.

“Saya sudah biasa dengan beliau sebab sebelum ini bersama-sama dalam skuad Harimau Muda, jadi saya tahu bagaimana gaya dan pembawakannya di atas padang.

“Sebab itu saya rasa selesa untuk berada di bawah bimbingannya. Saya teruja untuk kembali bekerjasama dengan beliau,” jelasnya.

Artikel Berkaitan: