Tiga hari hilang, lelaki ditemui maut terbabas

Misteri kehilangan seorang lelaki sejak tiga hari lalu terjawab apabila ditemukan maut selepas motosikal ditunggang terbabas di KM22 Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), pada Sabtu lalu. - Gambar hiasan
Misteri kehilangan seorang lelaki sejak tiga hari lalu terjawab apabila ditemukan maut selepas motosikal ditunggang terbabas di KM22 Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), pada Sabtu lalu. - Gambar hiasan
A
A
A

GERIK - Misteri kehilangan seorang lelaki sejak tiga hari lalu terjawab apabila ditemukan maut selepas motosikal ditunggang terbabas di KM22 Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, pada Isnin, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan kejadian kemalangan membabitkan sebuah motosikal jenis Kawasaki Ninja yang terbabas di lokasi kejadian.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, pada 7 Januari kira-kira jam 11.15 pagi, mangsa berusia 46 tahun menunggang motosikal berseorangan melalui JRTB sedang menghala ke Banjaran Titiwangsa sebelum gagal mengawal motosikal dan terbabas ke bahu jalan.

"Siasatan lanjut mendapati, pada 9 Januari 2023 lebih kurang jam 1.58 petang, bapa mangsa telah membuat laporan polis berkaitan kehilangan anaknya di Balai Polis Kuala Ketil.

"Bertindak berdasarkan maklumat tersebut, rakan-rakan mangsa telah menjejaki mangsa di tempat kejadian dan terus melaporkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Zulkifli berkata, pihak polis sedang menyiasat kes terbabit di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Gerik, Inspektor Mohd Zaidi Mat Yasin di talian 013-4487374 bagi membantu siasatan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menasihati pengguna jalan raya supaya berhati-hati dan berhemah semasa melalui JRTB bagi mengelak berlakunya kemalangan.

Artikel Berkaitan: