Mengaumlah Harimau Malaya!

Skuad Harimau Malaya bakal berdepan ujian getir menentang Thailand dalam aksi separuh akhir kedua Piala AFF 2022 di Stadium Thammasat, Bangkok pada Selasa.
Foto: FB FAM
Skuad Harimau Malaya bakal berdepan ujian getir menentang Thailand dalam aksi separuh akhir kedua Piala AFF 2022 di Stadium Thammasat, Bangkok pada Selasa. Foto: FB FAM
A
A
A

SKUAD Harimau Malaya sudah bersedia untuk menghadapi gelora kebangkitan yang bakal ditampilkan Thailand dalam aksi separuh akhir kedua Piala AFF 2022 di Stadium Thammasat, Bangkok pada Selasa.

Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon berkata, barisan pemainnya telah diingatkan untuk mengekang habis-habisan serangan skuad Gajah Putih yang dijangka mendapat sokongan padu daripada penyokong sendiri.

Malah, Pan-gon percaya kemampuan Harimau Malaya menjelmakan keputusan positif di laman lawan itu nanti walaupun menyedari anak-anak buahnya membawa bekalan tipis ke Bangkok.

“Sudah tentu ia perlawanan yang sukar kerana kita tahu ranking Thailand yang lebih baik. Mereka merupakan pasukan yang bagus. Ia akan menjadi tugas sukar walaupun kami menang 1-0 di separuh akhir pertama.

“Saya akui pemain telah menunjukkan aksi baik di tempat sendiri dan kami perlu teruskan dengan persembahan lebih baik untuk mencari keputusan positif (dalam aksi separuh akhir kedua),” katanya.

Dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu lalu, Harimau Malaya meraih kemenangan 1-0 hasil jaringan Faisal Halim pada minit ke-11.

Bekalan satu gol itu dilihat agak ‘goyah’ sekiranya Harimau Malaya terus menggunakan pendekatan bertahan, selain skuad Gajah Perang tampil dengan pendekatan agresif seperti dilakukan di Bukit Jalil.

Namun, sedikit berita gembira mungkin boleh melegakan Pan-gon apabila pemain pertahanan, Azam Azmi Murad sudah bebas daripada penggantungan dua perlawanan.

Artikel Berkaitan:

Situasi itu memberikan lebih alternatif kepada Pan-gon dalam membentuk barisan pertahanan yang lebih ampuh bagi mengekang jentera serangan Thailand diketuai penjaring terbanyak, Teerasil Dangsa.

“Kami tidak beri gol kepada pasukan lawan di tempat sendiri dan ia sangat bagus kerana gol di tempat lawan juga akan beri kesan kepada keputusan separuh akhir ini nanti.

“Saya percaya mental pemain-pemain sangat kuat bagi menghadapi aksi separuh akhir kedua di Bangkok dan mereka akan berjuang sehabis baik demi nama Malaysia,” ujar Pan-gon.