Jeritan jiran selamatkan nyawa 17 penghuni

Kebakaran di sebuah bangunan lama yang dijadikan tempat tinggal lima keluarga di Kampung Pemuda Jaya, Jalan Seelong-Senai, Kulai, pada Isnin.
Kebakaran di sebuah bangunan lama yang dijadikan tempat tinggal lima keluarga di Kampung Pemuda Jaya, Jalan Seelong-Senai, Kulai, pada Isnin.
A
A
A

KULAI - Jeritan seorang jiran berjaya menyelamatkan nyawa 17 penduduk dalam kebakaran di sebuah bangunan di Kampung Pemuda Jaya, Jalan Seelong-Senai di sini terbakar pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, kesemua mangsa daripada lima keluarga itu selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Seorang mangsa, Junita Mohamad, 25, berkata, jeritan jiran tersebut mengejutkan mereka yang sedang nyenyak tidur.

Dia yang tinggal menyewa di kediaman itu bersama-sama ahli keluarga bergegas keluar menyelamatkan diri kerana kebakaran di bangunan tersebut marak dengan pantas hanya dalam kira-kira 10 minit.

"Selain golongan dewasa, dua daripada penghuni merupakan bayi berusia 12 bulan serta tiga kanak-kanak adalah mangsa kebakaran.

"Ini merupakan tragedi tahun baharu. Kami yang merupakan golongan berpendapatan rendah buntu dengan nasib malang masing-masing kerana perlu membina semua kehidupan baharu.

"Ada antara penghuni yang hanya bekerja di pusat mencuci kereta, kerja kilang serta pemandu yang berhijrah ke Johor sejak beberapa bulan lalu hingga setahun," katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Ketua Kampung Baru Sri Aman, Tukimin Aziz berkata, lima keluarga berkenaan berhijrah dari Kelantan ke kampung itu bagi mencari rezeki di negeri ini selepas tiada pekerjaan di tempat asal selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, lokasi kejadian merupakan bekas bangunan pejabat pada 1970-an yang sudah lama sudah dikosongkan.

"Akibat kebakaran ini semua mangsa tinggal sehelai sepinggang termasuk kehilangan harta benda serta tempat tinggal. Mereka sudah tinggal di bangunan itu antara tiga hingga tujuh bulan lalu.

"Buat masa ini semua mangsa kebakaran ditempatkan di Surau Kampung Pemuda Jaya dan kami sedang mengusahakan bantuan yang bersesuaian," katanya ketika dihubungi.

Kejadian tersebut dilaporkan ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Kulai pada jam 4.55 pagi untuk meminta bantuan sebelum 17 anggota bergegas ke tempat kejadian.

Ketua Operasi dari BBP Bandar Baru Kulai, Penolong Penguasa Bomba Muhamad Fauzi Awang berkata, mereka dibantu sebuah fire rescue tender (FRT), sebuah Fire Response Vehicle (FRV), sebuah lori tangki dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

"Bangunan berkenaan adalah jenis struktur separuh kekal yang dijadikan sebagai rumah oleh beberapa keluarga terbakar 80 peratus.

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, semua mangsa berjaya menyelamatkan diri. Operasi ditamatkan pada jam 6.27 pagi.

"Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.