Isu kerakyatan anak: Kertas Jemaah Menteri ke kabinet bulan depan

Saifuddin Nasution - Foto Bernama
Saifuddin Nasution - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kertas Jemaah Menteri berhubung pindaan pada Bahagian II Jadual Ke-2 Perlembagaan Persekutuan berhubung isu kewarganegaraan anak kepada wanita rakyat Malaysia dan pasangan warga asing yang lahir di luar negara dijangka dibawa ke kabinet seawal Februari ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, satu jawatankuasa khas bagi meneliti perkara itu telah ditubuhkan.

"Hasrat kami untuk mengangkat Kertas Jemaah Menteri bagi dimuktamadkan di peringkat kabinet," katanya ketika sidang akhbar selepas mengadakan lawatan rasmi ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sini pada Isnin.

Menurutnya, jawatankuasa khas tersebut turut berfungsi meneliti status kewarganegaraan bagi anak yang tidak sah taraf.

"Persetujuan di peringkat kementerian jelas, ia harus merangkumi semua kes.

"Kalau nanti kami pinda, undang-undang mana nak guna pakai, kita uruskan waktu itu," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai langkah kerajaan akan memulakan proses pindaan Perlembagaan Persekutuan dalam masa terdekat bagi menyelesaikan isu kewarganegaraan anak kepada wanita rakyat Malaysia dan pasangan warga asing, yang lahir di luar negara.

Saifuddin berkata, langkah pertama kementerian adalah dengan memulakan Kertas Jemaah Menteri KDN.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya ada arahan bahawa perlu penglibatan bersama, Kertas Jemaah Menteri menuju ke aras kertas bersama," katanya.

Beliau berkata sejak 2017, JPN menerima 54,000 permohonan kewarganegaraan dan 7,000 telah diluluskan manakala 36,000 masih dalam proses.

Dalam perkembangan lain Saifuddin berkata, kerajaan akan meneruskan proses di Mahkamah Persekutuan membabitkan permohonan seorang wanita, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan enam ibu warga tempatan untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan berhubung kewarganegaraan automatik kanak-kanak yang dilahirkan oleh wanita Malaysia di luar negara.

Beliau berkata, prosedur undang-undang itu tidak akan menghalang tekad Kerajaan baharu untuk melihat pindaan Perlembagaan Persekutuan membabitkan kewarganegaraan.

"Kita izinkan ia berjalan dulu. Saya fikir tiada kesan dari sudut rancangan kami untuk ke arah isu kewarganegaraan ini," katanya.