Selangor sasar lebih 3.5 juta pelancong tahun ini

Hee Loy Sian
Hee Loy Sian
A
A
A

SHAH ALAM - Selangor menyasarkan jumlah peningkatan pelancong melebihi 3.5 juta iaitu sebanyak lebih lima peratus pada tahun ini berbanding 3.3 juta pada tahun lalu.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Hee Loy Sian berkata, Selangor menyediakan pelbagai segmentasi sebagai tarikan pelancongan.

Menurutnya, antara lokasi yang menjadi tarikan pelancong ialah di taman tema air Splash Mania di Gamuda Cove dan pelancongan pelayaran melalui Terminal Kapal Persiaran Pelabuhan Klang.

Pelancongan pelayaran melalui Terminal Kapal Persiaran Pelabuhan Klang. menjadi antara tarikan pelancongan di Selangor
Pelancongan pelayaran melalui Terminal Kapal Persiaran Pelabuhan Klang. menjadi antara tarikan pelancongan di Selangor

“Selain itu, turut menjadi tumpuan segmentasi ekopelancongan seperti Geotaman Gombak-Hulu Langat yang terdiri daripada 20 geotapak di Gombak dan Hulu Langat seperti Batu Arang, Batu Caves dan agropelancongan seperti Selangor Fruit Valley.

“Selangor mempunyai banyak lokasi menarik untuk dikunjungi bagi aktiviti bersama keluarga dan rakan serta tidak terhad di kawasan bandar sahaja,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Loy Sian menambah, bagi menarik minat pelancong pakej berasaskan komuniti setempat juga akan dipasarkan secara meluas kerana ia merupakan trend terkini pelancong.

Selangor melalui Tourism Selangor memperkenalkan Kempen “Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu!” sebagai salah satu pendekatan proaktif bertujuan untuk mengukuhkan lagi pelancongan domestik bagi negeri ini manakala bagi pasaran antarabangsa pula menerusi Kempen ‘Splendid Selangor, Take Me Anywhere’.

Artikel Berkaitan:

Kempen ini didorong ke arah pelaksanaan menyeluruh yang merangkumi kerjasama dengan pemain industri pelancongan utama seperti pengendali hotel, agensi pelancongan, syarikat penerbangan dan rakan media.