Pelaburan di Perak tunjuk peningkatan

Mohammad Nizar menjawab soalan lisan dalam Sidang DUN Perak hari ini.
Mohammad Nizar menjawab soalan lisan dalam Sidang DUN Perak hari ini.
A
A
A

IPOH – Jumlah pelaburan di Perak khususnya dalam sektor pembuatan serta pelaburan menunjukkan peningkatan bagi tempoh Julai hingga Disember 2018.

Exco Pelaburan, Industri dan Pembangunan Wilayah Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (Amanah-Sungai Rapat) berkata, jumlah berkenaan dilihat menunjukkan perbezaan ketara bagi separuh bulan pertama 2018 (Januari sehingga Jun) berbanding bagi tempoh Julai hingga Disember 2018.

“Jumlah keseluruhan pelaburan bagi sektor pembuatan yang telah diluluskan di Perak berdasarkan Industrial Coordination Acts 1975 (ICA) untuk keseluruhan tahun 2018 adalah RM1.886 bilion.

“Dalam pada itu bagi sektor perkhidmatan, jumlah keseluruhan pelaburan yang diluluskan adalah sebanyak RM384 juta.

“Secara perbandingan, jumlah pelaburan bagi sektor pembuatan yang dicatatkan pada separuh bulan pertama tahun 2018 (iaitu bagi tempoh Januari sehingga Jun) ketika di bawah pentadbiran terdahulu adalah sebanyak RM371 juta manakala jumlah pelaburan bagi separuh bulan terakhir tahun 2018 (iaitu bagi tempoh Julai sehingga Disember) di bawah pentadbiran kerajaan yang baharu adalah sebanyak RM1.515 bilion,” katanya.

Mohammad Nizar berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Razman Zakaria (Pas-Gunung Semanggol), Mohd Tarmizi Idris (BN-Kenering) dan Khairul Shahril Mohamed (BN-Bota) pada sesi soalan lisan dalam Sidang DUN Perak hari ini.

Tambah Mohammad Nizar berdasarkan taburan lokasi pelaburan, daerah Larut Matang dan Selama (LMS) mencatatkan kemasukan pelaburan yang paling tinggi iaitu sebanyak RM937.4 juta, diikuti daerah Kinta sebanyak RM428.6 juta dan daerah Manjung sebanyak RM253.6 juta.

Sementara itu Mohammad Nizar berkata, berdasarkan fakta berkenaan telah membuktikan keyakinan pelabur asing kepada kerajaan sedia ada.

Artikel Berkaitan:

Malah Mohammad Nizar yakin trend kemasukan pelaburan asing ke negara ini akan bertambah dan seterusnya akan membantu peningkatan pelaburan sama ada di peringkat domestik mahupun pelaburan asing.

“Impak pelaburan asing ini kita dah rasa. Kita nikmati dengan peluang-peluang pekerjaan. Tidak kurang enam syarikat pelaburan asing sudah beroperasi di negeri kita.

“Pastinya akan jauh lebih berkembang kalau dapat pastikan lebih banyak syarikat seumpamanya beroperasi di sini,” katanya.