[VIDEO] 440 penternak rugi RM3.98 juta akibat banjir

Dr Suratan (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan makanan haiwan kepada penerima, Kok Fung Moi, 51.
Dr Suratan (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan makanan haiwan kepada penerima, Kok Fung Moi, 51.
A
A
A

KOTA BHARU - Banjir Monsun Timur Laut (MTL) yang melanda pada Disember tahun lalu mengakibatkan 440 penternak di seluruh negara mengalami kerugian berjumlah RM3.98 juta akibat ternakan mati.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Dr Suratan Kamarudin berkata, kerugian turut melibatkan kerosakan kandang dan peralatan.

Katanya, haiwan yang mati atau dihanyutkan banjir membabitkan lembu, kerbau, ayam dan itik.

“Di Kelantan dianggarkan kerugian akibat ternakan mati atau hanyut mencecah RM392,000.

“Jabatan Veterinar akan terus memantau dan membuat penilaian secara berterusan bagi tujuan menyalurkan bantuan kepada penternak yang terjejas,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Penyerahan Bantuan Makanan Haiwan Peliharaan Kucing dan Anjing Pasca Banjir Kelantan di Pejabat Veterinar negeri di sini pada Ahad.

Menurutnya, sebanyak RM6.7 juta peruntukan sudah digunakan bagi membantu 552 penternak yang terjejas akibat pelbagai bencana alam di seluruh negara sepanjang tahun lalu.

“Jumlah itu lebih tinggi berbanding RM1.6 juta peruntukan bagi membantu 287 penternak terjejas kerana bencana alam pada tahun 2021.

“Penternak boleh melaporkan kejadian kematian ternakan dan kerosakan peralatan kepada jabatan di peringkat daerah dan negeri serta akan dibawa ke Putrajaya untuk proses penyaluran bantuan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau mengingatkan penternak supaya tidak mengambil sikap berlengah untuk memindahkan haiwan ternakan jika terdapat tanda-tanda awal banjir.

“Peringatan kepada semua supaya bertanggungjawab untuk bersedia lebih awal dan peka dengan amaran serta ramalan hujan lebat.

“Sikap berlengah akan menyebabkan haiwan terperangkap atau mati akibat lemas,” katanya.

Tambah beliau, jabatan itu turut memberikan bantuan kepada pemilik haiwan peliharaan anjing dan kucing yang terjejas banjir menerusi tanggungjawab sosial korporat bersama persatuan serta badan bukan kerajaan (NGO).

“Tahun lalu sumbangan lima tan makanan haiwan peliharaan kucing dan anjing diagihkan manakala tahun ini sebanyak tiga tan diagihkan kepada pemilik-pemilik haiwan di seluruh negara,” katanya.