Kelab Thailand intai kelibat pemain Harimau Malaya

Darren Lok antara menjadi tumpuan pada saingan Piala AFF 2022 kali ini. - Foto Bernama
Darren Lok antara menjadi tumpuan pada saingan Piala AFF 2022 kali ini. - Foto Bernama
A
A
A

PENGERUSI Kelab Port FC yang berpangkalan di Thailand, Nualphan Lamsam tanpa berselindung mengakui sedang ‘mengintai’ beberapa pemain Harimau Malaya untuk beraksi bersama kelabnya pada masa depan.

Beliau yang turut dikenali sebagai Madam Pang berkata, kelibat pemain seperti tonggak tengah Stuart Wilkin dan penyerang Darren Lok pada saingan Piala AFF 2022 yang sedang berlangsung, antara yang mencuri tumpuannya.

“Saya rasa ketua pasukan nombor 11 (Safawi Rasid) anda akan bermain di Ratchaburi FC dan anda juga mempunyai seorang pemain yang beraksi untuk Buriram United (Dion Cools), namun dia tidak menyertai Piala AFF. Walaupun Piala AFF ini tiada dalam kalendar FIFA, tetapi Port FC tetap berusaha mengenal pasti pemain.

“Anda mungkin memiliki ramai pemain yang bagus. Kami nampak beberapa pemain dan daripada perlawanan terakhir tempoh hari saya nampak pemain anda seperti nombor 8 (Wilkin) dan nombor 9 (Darren),” katanya yang juga pengurus skuad bola sepak Thailand, pada sidang media pada Sabtu.

Kelab Port FC yang berada di tangga ketujuh daripada 16 pasukan dalam saingan Liga Thai 1, kini mengumpul 22 mata dipisahkan 17 mata dengan pendahulu liga, Buriram United yang mengutip 39 mata.

Artikel Berkaitan: