Tindakan BN tarik sokongan tiada kesan pada Hajiji

Hajiji
Hajiji
A
A
A

KOTA KINABALU - Tindakan Barisan Nasional (BN) Sabah menarik sokongan terhadap Datuk Seri Hajiji Noor disifatkan tidak memberi kesan terhadap kedudukan semasa beliau sebagai Ketua Menteri Sabah.

Malah, kedudukan Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah kekal dan sebarang kenyataan media parti politik tidak memberi kesan dari sudut perundangan.

Perkara itu dinyatakan dalam kenyataan bersama empat Presiden parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bahawa keabsahan Ketua Menteri ditentukan melalui sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berpandukan kepada Perlembagaan Negeri.

"Tindakan Datuk Seri Bung Moktar Radin, Ketua Badan Perhubungan UMNO Sabah yang mengumumkan bahawa UMNO dan BN menarik sokongan terhadap Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah membuktikan wujudnya gerakan awal yang telah dibuat bersama Parti Warisan (Warisan) untuk menggugat kestabilan politik di negeri ini.

"Tindakan ini adalah susulan daripada kegagalan perancangan awal mereka pada 5 Januari 2023," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili; Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan; Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee dan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Kenyataan itu turut mengesahkan bahawa ADUN Sabah daripada GRS berdiri teguh menyokong penuh kepimpinan Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah.

"GRS merupakan sebuah parti politik dengan jumlah ADUN paling banyak dalam DUN Sabah. GRS juga menghargai sokongan majoriti ADUN-ADUN lain terhadap Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri termasuk daripada sokongan kolektif ADUN Pakatan Harapan (PH), ADUN BN, Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan) dan ADUN Dilantik.

Artikel Berkaitan:

"Komitmen padu ini berpaksikan kepada kesedaran bahawa kepentingan rakyat dan negeri seharusnya diutamakan berbanding kepentingan sempit kepartian dan individu," katanya.

Sehubungan itu, sudah menjadi tanggungjawab semua untuk menghormati mandat rakyat dalam pilihan raya negeri (PRN) yang lalu.

"Sebarang gerakan untuk membentuk kerajaan dari pintu belakang dan tidak melalui proses pilihan raya adalah tindakan yang mengkhianati mandat rakyat dan seharusnya ditolak," katanya.

Ikuti perkembangan politik semasa negara di sini!