Ambil alih saham Menara KL: Dua Datuk direman empat hari

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

PUTRAJAYA - Dua pengarah kanan syarikat bergelar Datuk direman empat hari mulai Sabtu bagi membantu siasatan berhubung isu pembelian saham dan pengambilalihan konsesi pengurusan Menara Kuala Lumpur (Menara KL).

Perintah reman sehingga 10 Januari itu dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini.

Pada Jumaat, sumber SPRM dilapor berkata, kedua-dua individu berusia 49 dan 59 tahun itu merupakan orang tengah yang mengurus urusan suapan dan seorang pengarah urusan syarikat yang dikatakan mengambil alih saham syarikat pengurusan Menara KL, ditahan di Ibu Pejabat SPRM ketika hadir memberi keterangan.

Menurutnya, pemilihan syarikat terbabit disyaki melibatkan permintaan wang rasuah berjumlah ratusan ribu dan seutas jam tangan mewah sebagai hadiah kepada ‘orang atasan’ bagi membantu pengambilalihan tersebut.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang mengesahkan tangkapan itu berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Sebelum ini, tular di media sosial isu berhubung pengambilalihan pengurusan Menara KL melalui pegangan saham penuh daripada Telekom Malaysia (TM) melalui anak syarikatnya, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd kepada syarikat Hydroshoppe Sdn Bhd sehingga menimbulkan persoalan orang ramai terhadap keputusan itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: